PH judi
Idris Ahmad

KUALA LUMPUR – Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Senator Datuk Idris Ahmad mengingatkan orang ramai terutama umat Islam agar tidak membuat sebarang ulasan berhubung kes perbicaraan mahkamah dihadapi pendakwah selebriti.

Beliau memberi ingatan itu kerana bimbang setiap ulasan boleh menimbulkan rasa kurang senang terhadap mana-mana pihak dan imej Islam itu sendiri.

“Kita semua maklum sedang berlangsungnya kes perbicaraan gangguan seksual yang melibatkan seorang insan yang dikenali rakyat Malaysia atas keprihatinan dan usahanya membantu masyarakat yang memerlukan dibanyak tempat.

“Saya mengambil peluang ini untuk mengingatkan semua rakyat Malaysia dan masyarakat umum, walaupun ianya melibatkan insan yang dikenali, kes ini adalah kes yang sedang dibicarakan di dalam mahkamah.

“Oleh itu, perlu untuk kita menghormati proses mahkamah dan serahkannya pada pihak berautoriti untuk melaksanakan tugasnya,” katanya menerusi hantaran Facebooknya hari ini.

Perbicaraan kes Ebit Irawan Ibrahim Lew atau Ebit Lew bermula semalam dengan Mahkamah Majistret Tenom mendengar keterangan pakar motivasi yang membantu seorang mangsa gangguan seksual.

Ebit Lew berdepan 11 pertuduhan antaranya mengaibkan kehormatan seorang wanita berumur 40-an dengan menghantar perkataan lucah ke nombor telefon mangsa melalui aplikasi Whatsapp antara Mac dan Jun tahun lalu.

Beliau didakwa mengikut Seksyen 509 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman maksimum penjara lima tahun atau denda atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan.

Mengulas lanjut, Idris berkata, berpeganglah kepada pesan dan ajaran agama Islam yang digariskan mengikut kaedah fekah iaitu “asal setiap sesuatu adalah tidak bertanggungjawab/tidak bersalah”.

Erti kata lain, katanya, seseorang itu tidak bersalah selagi tidak dijatuhkan hukuman yang membenarkan kes yang berlangsung.

“Maka, sepanjang proses perbicaraan ini berlangsung, saya menegaskan untuk tidak diulas kes perbicaraan ini sehingga menimbulkan rasa kurang senang terhadap mana-mana pihak dan imej agama.

“Kita perlu memegang akhlak dan ilmu ajaran agama terutama sekali kepada para pendakwah dan ikon-ikon besar yang diikuti orang ramai.

“Seluruh rakyat juga diseru untuk tidak menangguk di air keruh sehingga tanpa sedar memberi mesej buruk terhadap nilai agama dan ramai lagi para agamawan yang berusaha membawa mesej agama kepada masyarakat  dengan ikhlas dan bersungguh,” katanya.

Ujarnya, beliau tetap tidak bersetuju dengan apa-apa perlakuan yang bertentangan dengan undang-undang apatah lagi perlakuan yang menceroboh kehormatan diri.

Jika berlaku jenayah, ia mesti dilapor kepada pihak berkuasa dan dibawa ke muka pengadilan.

“Jika sabit kesalahan, hukuman yang tegas perlu diberikan kepada pelakunya, tidak kira siapa pun dia. Ini adalah kerana untuk memberi pengajaran kepada semua pihak.

“Ibu bapa, pendidik, pemimpin, NGO dan semua pihak, kita bersatu hati untuk turun padang memberikan kempen kesedaran kepada masyarakat daripada jenayah seperti ini.

“Adalah menjadi tugas kita semua untuk sama-sama melindungi masyarakat daripada pihak yang tidak bertanggungjawab,” katanya.

Beliau menjelaskan, biarlah kebenaran itu dibawa mengikut saluran yang tepat dan terus menjadi rakyat serta umat Islam yang bertanggungjawab dalam apa jua situasi agar Allah menilai yang terbaik sebagai seorang muslim. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast