Ong Kim Swee. Foto Facebook Sabah FC.

KUALA LUMPUR – Hanya satu matlamat tunggal buat Sabah FC yang akan bertandang ke Stadium Sultan Mizan Zainal Abidin pada Sabtu ini bagi berdepan Terengganu FC.

Mereka tidak mahu pulang dengan tangan kosong.

Itu harapan ketua jurulatih Sabah FC, Datuk Ong Kim Swee yang mahu pemain-pemainnya berjuang sehingga keringat terakhir bagi memastikan kedudukan mereka kini di tangga kedua Liga Super tidak terjejas.

Namun, beliau tidak menafikan laluan berduri bakal dilalui Sabah kerana Terengganu amat sukar dijinakkan di laman sendiri dengan statistik menunjukkan mereka hanya baharu tewas sekali iaitu semasa berdepan Johor Darul Ta’zim (JDT).

“Di penghujung saingan dengan hanya tinggal beberapa perlawanan, apa sahaja mata yang dapat dipungut adalah penting dan kami tidak mahu pulang ke Sabah dengan tangan kosong selepas perlawanan dengan Terengganu.

“Di tempat sendiri, Terengganu FC mempunyai rekod sangat baik dan mereka telah bermain bersama untuk jangka masa yang lama sebagai satu pasukan berbanding kami yang kebanyakan pemain baharu dikumpulkan untuk musim ini.

“Selain itu, mereka punya kekuatan yang seimbang di semua posisi, jadi pendekatan kami perlu berbeza dan apa yang penting kami kena fokus dengan corak taktikal yang kita akan gunakan.

“Tiada mana-mana pemain berdepan kecederaan dengan Gary Steven Robbat juga sudah kembali pulih manakala Dominic Tan yang baharu pulang bersama pasukan kebangsaan telah mula menjalani latihan sejak Selasa,” katanya.

Kekalahan di tangan Selangor pada aksi terakhir di Stadium Likas serta sekadar seri dalam dua perlawanan bertemu Kuala Lumpur City FC dan Kedah Darul Aman (KDA) menyaksikan Sabah kini hanya meninggalkan Terengganu di tangga keempat dengan kelebihan empat mata dan sebarang kekalahan bakal membuka ruang kepada anak-anak buah Nafuzi Zain merapatkan jurang dengan perbezaan satu mata.

Situasi itu bakal meletakkan mereka dalam tekanan menjelang penghujung saingan dengan dua slot ke Piala AFC 2023 bakal menjadi taruhan untuk pasukan yang berada di tangga ke-2 dan 3 Liga Super.

Dalam pada itu, Kim Swee mengakui tempoh rehat yang panjang telah digunakan sebaik mungkin bagi memperbaiki kelemahan terutama sering membiarkan lawan mendahului mereka terlebih dahulu dalam sesuatu perlawanan.

“Cuti yang panjang ini banyak perkara kami telah lakukan dan perkara paling saya kenal pasti adalah kami sering dibolosi dahulu dalam beberapa perlawanan sebelum ini.

“Hanya semasa berdepan Sarawak, kami tidak dibolosi dan itu satu statistik yang amat membimbangkan saya, jadi segala kelemahan telah dikenal pasti agar masalah tidak berulang.

“Kuncinya kini kami tidak boleh cepat terlalu panik dengan situasi sekarang dan hanya fokus kepada perancangan kita dari satu ke satu perlawanan,” katanya. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast