GEORGE TOWN – Polis Pulau Pinang menerima 282 laporan membabitkan kes samun di negeri ini sejak Januari hingga semalam.
Bagaimanapun, daripada jumlah itu sebanyak 82 laporan yang dibuat merupakan laporan palsu dan kebanyakannya membabitkan kehilangan kad pengenalan (MyKad).
Ketua Polis Pulau Pinang, Datuk Mohd Shuhaily Mohd Zain berkata, mereka yang membuat laporan palsu ini terdiri daripada warga tempatan dan asing berusia lingkungan 20 hingga 60 tahun.
Jelas beliau, berdasarkan data sebanyak 52 laporan palsu dibuat membabitkan kehilangan MyKad, salah guna wang dan harta (10); perselisihan faham melihat keluarga serta tuntutan insurans masing-masing lima.
“Selain itu, kehilangan pasport, kad Suruhanjaya Tinggi Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (4); elak bayar hutang (3); cemburu, fitnah supaya suspek ditahan serta ponteng kerja masing-masing satu.
“Pihak polis menjalankan siasatan sebaik laporan diterima sebelum mendapati ada keraguan dalam laporan itu yang membongkar penipuan mereka.
“Susulan itu, satu siasatan mengikut Seksyen 182 Kanun Keseksaan akan dijalankan ke atas individu tersebut dan jka disabitkan kesalahan boleh dihukum penjara enam bulan atau denda sehingga RM2,000 atau kedua-duanya,” katanya pada sidang media di Ibu Pejabat Polis Kontinjen Pulau Pinang (IPK) hari ini.
Sehubungan itu, Mohd Shuhaily menasihatkan semua masyarakat dan pihak berkenaan agar tidak membuat sebarang laporan palsu kerana tindakan itu akan menyusahkan polis dan pihak lain.
“Banyak masa dan tenaga dibazirkan dalam menjalankan satu-satu siasatan disebabkan oleh tindakan segelintir masyarakat yang tidak bertanggungjawab.
Berdasarkan semakan dilakukan di laman web Jabatan Pendaftaran Negara (JPN) mendapati individu yang kehilangan kad pengenalan perlu membayar denda RM110 (kali pertama), RM310 (kali kedua) dan RM1,100 (kali ketiga).
Bagaimanapun, pengecualian denda diberikan ke atas kes-kes jenayah seperti kecurian, samun dan ragut. – MalaysiaGazette