KUALA LUMPUR – Bajet 2023 yang dijadual dibentangkan di Parlimen minggu depan, dijangka mengekalkan objektif teras kerajaan untuk membina semula dan mengukuhkan ekonomi negara selepas pandemik.

Prof Madya Dr Nuradli Ridzwan Shah Mohd Dali dari Fakulti Ekonomi dan Muamalat, Universiti Sains Islam Malaysia (USIM) percaya walaupun terdapat ura-ura menyatakan pilihan raya umum (PRU) semakin hampir, pembentangan belanjawan yang akan datang ini masih akan menumpukan kepada membina semula ekonomi negara.

“(Pada pendapat saya), ia mungkin belanjawan yang memuaskan, tetapi ini tidak seharusnya mengalih perhatian kita daripada memberi tumpuan kepada membina semula ekonomi negara dan memastikan kita berada di laluan pemulihan yang betul selepas pandemik,” katanya semasa program “The Brief” Bernama TV yang disiarkan pada hari Rabu.

Mengenai saiz belanjawan, Nuradli berkata peruntukan belanjawan tahun ini mungkin lebih kurang sama dengan tahun lepas, tetapi dengan defisit yang lebih rendah sedikit berbanding kira-kira 6.0 peratus dalam Bajet 2022.

“Tahun ini, ia (defisit) mungkin tidak setinggi belanjawan sebelumnya, kerana matlamat ‘belanjawan yang baik’ bukan untuk mengalami defisit yang sangat besar,” tambahnya. – BERNAMA

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette 2
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast