TANJUNG MALIM – Guru besar sebagai pentadbir yang menyandang gred DG52 tidak akan kembali bertugas sebagai guru biasa di sekolah rendah seperti yang didakwa sebelum ini.
Menteri Kanan Pendidikan Datuk Dr Radzi Jidin berkata, ini kerana perkara itu telah diputuskan menerusi perbincangan di peringkat Kementerian Pendidikan (KPM) bersama Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA) dan Kementerian Kewangan.
“Guru-guru besar yang terlibat yang sudah capai gred ini (DG52) jangan risau, cikgu akan kekal sebagai guru besar untuk tempoh yang ada dan perinciannya akan diumum kemudian dalam masa terdekat,” katanya pada sidang media selepas menghadiri program Eksplorasi Alam Lestari III di Pusat Perlindungan Hidupan Liar (PKHL) Sungkai di sini hari ini.
Pada 8 Sept lepas, Presiden Kongres Kesatuan Pekerja-pekerja Di Dalam Perkhidmatan Awam (Cuepacs) Adnan Mat dilaporkan meminta Radzi mengkaji semula dakwaan bahawa guru besar sebagai pentadbir yang menyandang gred DG52 akan kembali bertugas sebagai guru biasa di sekolah rendah.
Sebelum ini media melaporkan kira-kira 200 guru besar di Semenanjung Malaysia yang akan dinaikkan ke gred DG52 dalam tempoh dua tahun ini buntu memikirkan nasib mereka yang dikatakan akan ‘turun pangkat’ dengan kembali bertugas sebagai guru biasa di sekolah rendah.
Ditanya mengenai jumlah guru yang terlibat, Radzi berkata data itu sedang dalam proses semakan dan yakin ia tidak akan mengganggu proses kenaikan guru lain.
“Dalam konteks ini, memandangkan mereka pentadbir sekolah, tidak mengapa kerana ada pentadbir yang bersara dan ada baharu yang dipilih. Perkara ini akan berterusan di peringkat guru besar dan kita akan lihat nanti, insya-Allah tidak akan timbul masalah dalam perkara tersebut,” katanya. – BERNAMA