pengundi wang
Azam Baki

KUALA LUMPUR – Ketua Pesuruhjaya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Tan Sri Azam Baki mengakui beliau mungkin memilih karier jurujual atau pun jurutera sekiranya tidak memegang jawatannya pada hari ini.

Azam memberitahu, bisnes minyak wangi menjadi pilihannya kerana beliau menggemari produk haruman wangian itu.

Beliau juga mungkin seorang jurutera kerana merupakan lulusan diploma kejuruteraan elektrik.

Namun gara-gara masalah komunikasi yang timbul untuk menyambung pengajian di luar negara pada tahun 1984, beliau memilih tawaran sebagai Inspektor Badan Pencegahan Rasuah (BPR) sebelum dikenali SPRM.

“Ada dua iaitu satu sama ada saya jadi jurujual atau pun saya jadi jurutera. Ini kerana kelulusan saya dulu kejuruteraan elektrik. Jadi bila saya sudah tamat pengajian iaitu diploma dan masuk (BPR) dengan Gred 29. Saya tidak malu mengatakan ini.

“Saya ingat lagi ketika tahun 1984 saya sudah dapat biasiswa untuk sambung pengajian ke luar negara di United Kingdom. Oleh kerana ada masalah komunikasi berbanding hari ini yang boleh emel dan Whatsapp kerana zaman itu hendak komunikasi dengan pihak universiti, enam bulan baru dapat jawapan.

“Ketika itu pula, BPR menawarkan saya jawatan, saya tamat pengajian pertengahan 1984 dan kemudian mohon sambung belajar di luar negara dan dapat biasiswa JPA (Jabatan Perkhidmatan Awam). Jadi saya terima tawaran BPR.

“Ketika ini saya sebagai inspektor dan menguatkuasa undang-undang polis. Jadi saya bekerja sampai sekarang dan Alhamdulillah ini jawatan Allah SWT yang berikan kepada saya,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berkongsi kerjaya lain yang terlintas di minda ketika ini sekiranya tidak menjadi Ketua Pengarah SPRM ketika ditemubual stesen radio Mutiara.fm secara langsung di Facebook di sini.

Azam turut memberitahu beliau seorang yang aktif bersukan namun aktiviti itu sudah bertukar kepada berbasikal dan berjalan kaki

“Lain-lain saya suka berjalan ambil angin. Macam jumpa tepi laut dan ada masa saya suka jalan kaki.

“Di Putrajaya, saya suka berjalan di tepi tasik besar untuk ambil angin kerana beri ilham untuk mengendalikan jabatan saya walaupun SRM ini tidak besar mana tapi tanggungjawab terlalu besar. Jadi masa jalan kaki ilham itu datang,” katanya yang akan pencen pada tahun depan kerana sudah berusia 60 tahun.

Mengenai masakan kegemarannya, Azam anak kelahiran Negeri Sembila berkata, makan pedas, kari serta tempoyak adalah pilihan utama untuk menu harian.

“Saya suka nasi kandar dan kari, adalah kesukaan saya di mana hari-hari saya boleh makan kari. Tetapi aktiviti berbasikal sudah kurang dan saya perasaan berat badan naik sikit,” katanya. – MalaysiaGazette