PUTRAJAYA – Projek Kolam Takungan Dwi-fungsi bagi Tebatan Banjir dan Sumber Bekalan Air Mentah Sungai Klang-Sungai Rasau dan Loji Rawatan Air Langat 2 Fasa II yang akan bermula tahun depan dijangka menelan belanja sebanyak RM5.6 bilion.
Daripada jumlah itu, kos Projek Kolam Takungan Dwi-fungsi bagi Tebatan Banjir dan Sumber Bekalan Air Mentah Sungai Klang-Sungai Rasau adalah RM3.6 bilion dan baki RM2 bilion adalah untuk projek LRA Fasa II pula RM2.
Projek-projek ini dijangka siap pada 2028.
Menteri Alam Sekitar dan Air, Datuk Seri Tuan Ibrahim Tuan Man berkata, projek takungan Dwi-fungsi Sungai Rasau untuk Tebatan Banjir dan Sumber Bekalan Air Mentah akan menyokong skim bekalan bagi membekalkan air sebanyak 1.4 bilion juta liter sehari untuk kegunaan penduduk di daerah Petaling dan Klang.
Selain itu, ia akan meningkatkan margin rizab bekalan air negeri Selangor melebihi 15 peratus dan dalam masa sama projek itu bermanfaat ketika musim tengkujuh.
“Kolam takungan ini juga berfungsi untuk tebatan banjir ketika musim tengkujuh. Sebagai kolam dwi-fungsi, projek ini mampu memberikan nilai tambah kepada pembangunan infrastruktur air yang berdaya tahan terhadap impak perubahan iklim susulan kejadian banjir buruk yang melanda Shah Alam (Seksyen 13,17, 20, 23, 24 dan 28) pada Disember 2021,” katanya.
Beliau menyatakan demikian selepas Kementerian Alam Sekitar dan Air (KASA) dan Kerajaan Negeri Selangor mengadakan mesyuarat pertama Jawatankuasa Khas Pelaksanaan Projek Kolam Takungan Dwi-fungsi bagi Tebatan Banjir dan Sumber Bekalan Air Mentah Sungai Klang-Sungai Rasau dan Loji Rawatan Air Langat 2 Fasa 2 (LRAL2F2).
Mesyuarat berkenaan dipengerusikan oleh Ketua Setiausaha KASA, Datuk Seri Dr. Zaini Ujang dan Setiausaha Kerajaan Negeri Selangor, Datuk Haris Kasim.
Sementara itu Tuan Ibrahim berkata, Rancangan Tebatan Banjir Sungai Klang akan melibatkan kerja-kerja pembinaan dinding penahan banjir (floodwall) sepanjang 10 kilometer (km), penstabilan tebing sungai sepanjang 15 km, naik taraf empat buah pintu air beserta pam, pembinaan tujuh buah pintu air beserta pam dan pembinaan alur limpah (spillway) dari Sungai Klang ke Kolam Banjir Kampung Lombong.
“Projek ini dijangka dapat menyelesaikan masalah banjir di kawasan USJ1, Kampung Tengah, Kampung Kenangan, Kampung Kuala Sungai Baru dan Kampung Seri Aman di Daerah Petaling, Taman Mas Puchong dan Taman Putra Prima di Daerah Sepang, serta Pangsapuri Koi Prima di Daerah Kuala Langat.
“Komponen tebatan banjir ini juga dijangka dapat mengurangkan kekerapan banjir sehingga tahap perlindungan 200 Average Recurrence Interval (ARI) di Sungai Klang dari kawasan Lanchong Jaya sehingga USJ1 Subang Jaya,” jelasnya.
Selain itu beliau berkata, projek LRAL2F2 pula berupaya meningkatkan bekalan air di Lembah Klang dengan memanfaatkan projek Penyaluran Air Mentah Pahang-Selangor (PPAMPS) dengan kapasiti 1.89 bilion liter sehari.
“Ini sekali gus akan meningkatkan rizab margin bekalan air di Negeri Selangor melebihi 20 peratus apabila projek ini siap sepenuhnya kelak.
“Secara langsung, LRAL2F2 akan dapat menggunakan sepenuhnya sumber air yang dibekalkan dari Sungai Semantan, Pahang melalui terowong sepanjang 40 km yang siap dibina pada tahun 2015.
“Setakat ini penyaluran air tersebut hanya dimanfaatkan melalui LRAL2F1 dengan kemampuan menerima sebanyak 1,130 Juta Liter Sehari air mentah dari Sungai Semantan, Pahang,” ujarnya. -MalaysiaGazette