MELAKA – Seorang warga emas maut terkena parang selepas terjatuh dari pokok nangka di hadapan rumahnya di Batu 8 Kampung Paya Rumput, di sini hari ini.
Ketua Polis Daerah Melaka Tengah, Asisten Komisioner Christopher Patit berkata, dalam kejadian kira-kira 11 pagi itu, mangsa, Yap Ah Keo, 64, meninggal dunia ketika cuba berjalan untuk menyelamatkan diri di hadapan rumahnya.
Menurutnya, hasil soal siasat terhadap isteri mangsa berkata, dia dan suaminya sebelum itu sempat berbual-bual di halaman rumah selepas mereka berdua keluar bersarapan sekitar jam 8 pagi.
“Kira-kira jam 11 pagi, si mati menyatakan hasrat untuk menebang dahan pokok nangka di hadapan rumah mereka yang didiami enam sekeluarga termasuk anak dan menantu mereka.
“Mangsa kemudian memanjat tangga pada pokok setinggi kira-kira dua meter untuk memotong dahan menggunakan parang di bawa sebelum tiba-tiba dahan terbabit patah menyebabkan mangsa dihempap dahan dan tangga berkenaan,” katanya ketika dihubungi, di sini, hari ini.
Tambah Christopher, mangsa yang cuba bangun kemudian mendapati darah mula mengalir dari rusuk sebelah kanan akibat terkena mata parang berukuran 30 sentimeter itu.
“Si mati kemudian dikatakan cuba menyelamatkan diri dengan berjalan ke arah paip di hadapan rumah untuk mencuci luka sambil memanggil isterinya.
“Bagaimanapun selepas lima langkah, mangsa tiba-tiba rebah dan disahkan meninggal dunia di situ,” katanya sambil menambah kes diklasifikasikan sebagai mati mengejut (SDR) namun mengeluarkan Pol 61 untuk mengetahui sebab kematian. – MalaysiaGazette.