KUALA LUMPUR – Pengarah Komunikasi Parti Amanah Negara (Amanah) mempertahankan pendirian bahawa Pakatan Harapan (PH) telah menunaikan sebahagian besar manifesto parti itu selepas memenangi Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU-14).
Ahli Parlimen Shah Alam itu berkata, secara realiti rakyat boleh menilai sendiri pencapaian PH semasa menjadi kerajaan dalam tempoh 22 bulan.
Menghapuskan cukai barang dan perkhidmatan (GST) serta menurunkan kadar tol antara janji yang berjaya ditunaikan oleh Kerajaan PH sebelum dijatuhkan melalui Langkah Sheraton.
“Antaranya adalah menghapuskan cukai barang dan perkhidmatan (GST), menurunkan kadar tol secara berperingkat, menstabilkan subsidi dan harga minyak.
“Mengawal harga serta bekalan harga barang keperluan terutama semasa musim perayaan, menstruktur semula pelaksanaan projek-projek mega dan memberi royalti kepada negeri pembangkang.
“Selain daripada itu, PH juga terpaksa mencuci ‘najis’ yang ditinggalkan pentadbiran UMNO terutamanya melaksanakan pemulihan ke atas Tabung Haji (TH) dan memastikan dana 1MDB dari luar negara dapat dikembalikan,” kata Khalid dalam kenyataan.
Beliau mengulas isu yang dibangkitkan UMNO dan Pas bahawa rakyat hidup menderita di bawah pentadbiran PH selama 22 bulan.
Khalid berkata, tuduhan yanng dibuat oleh UMNO dan Pas itu merupakan naratif basi yang dimainkan oleh pemimpin kedua-dua parti itu.
Beliau turut mendakwa, langkah Kerajaan PH melantik golongan profesional yang berpengalaman serta berwibawa untuk mengepalai syarikat berkaitan kerajaan (GLC) telah membawa impak positif dalam tempoh singkat.
Kedudukan demokrasi juga dipulihkan berikutan sikap terbuka Kerajaan PH terhadap media.
Dasar pelaksanaan kontrak terbuka oleh PH juga telah mengelakkan daripada wujudnya unsur rasuah dalam kerajaan.
“Hasilnya, kedudukan indeks persepsi rasuah Malaysia mencatatkan prestasi membanggakan.
“Malah pada saat-saat akhir sebelum PH dijatuhkan secara tidak bermaruah melalui Langkah Sheraton, kadar jangkitan Covid-19 yang mula melanda negara berjaya dikawal.
“Tidak dinafikan berlaku kelemahan tetapi hal ini telah dibaiki secara terbuka dan telus berbanding mengambil sikap berdalih dan memberi 1001 alasan,” katanya dalam kenyataan.
UMNO dan Pas mendakwa pemerintahan PH selama 22 bulan tidak memberikan sebarang kejayaan sebaliknya membuat rakyat menderita.
Mereka mendakwa golongan cauvinis dan ekstremis dalam PH menggunakan sebaik peluang, menyentuh berbagai perkara melibatkan dasar dan polisi yang sensitif, khususnya melibatkan Islam dan hak bumiputera.
Perpaduan dan keharmonian negara tergugat akibat kegagalan PH menguruskan isu tersebut.-MalaysiaGazette