KUALA LUMPUR – Nilai pasaran industri kecantikan di negara ini dijangka mencecah AS$999 juta menjelang tahun 2026.
Memandangkan industri ini berpotensi menyumbang kepada ekonomi negara, Kementerian Perdagangan Dalam Negeri Dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) sedang meneliti keperluan untuk mengawal selia pusat yang menawarkan perkhidmatan rawatan kecantikan.
Antara yang perlu diteliti adalah permintaan pengguna, rantaian nilai, penggunaan teknologi dalam trend semasa rawatan kecantikan dan keselamatan pengguna.
Menterinya, Datuk Seri Alexander Nanta Linggi berkata, beberapa aspek penting juga perlu diberi perhatian, termasuklah keperluan pengusaha pusat kecantikan dan pekerja mendapatkan latihan kemahiran daripada badan yang diiktiraf.
“Selain itu memastikan mesin dan peralatan yang digunakan adalah peralatan yang didaftarkan; pengendalian kursus kemahiran, modul dan pensijilan dari badan yang diiktiraf; melindungi pengguna melalui perlindungan insurans dan bahan-bahan dalam rawatan disahkan selamat oleh Kementerian Kesihatan Malaysia,” katanya menerusi kenyataan di sini hari ini.
Terdahulu katanya, aspek-aspek penting ini antara yang dibincangkan KPDNHEP bersama United Kingdom’s Vocational Training Charitable Trust (VTCT) dalam satu sesi libat urus baru-baru ini.
Jelas Alexander, KPDNHEP sentiasa menjalankan sesi libat urus bersama pemain industri pusat kecantikan dan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) bagi mencari kaedah mengawal selia yang terbaik.
“Sebagai menteri yang bertanggungjawab dalam sektor perdagangan dalam negeri dan kebajikan pengguna, saya berkongsi keprihatinan yang sama.
“Adalah menjadi perancangan kementerian untuk mengawal selia sektor kecantikan di Malaysia bagi memastikan industri ini dilaksanakan dengan teratur dan sistematik demi keselamatan pengguna,” tambah beliau.-MalaysiaGazette