KUALA LUMPUR – Timbalan Presiden PKR, Rafizi Ramli dikatakan sengaja menggunakan banjir sebagai alasan untuk membantah Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU-15) diadakan dalam masa terdekat kerana beliau takut Pakatan Harapan (PH) dan partinya akan kalah.
Setiausaha Agung Veteran UMNO, Datuk Mustapha Ya’akub berkata, sekiranya dalam PRU-14, Rafizi dan konco-konconya berjaya menumbangkan Barisan Nasional (BN) dengan janji-janji manis yang ditaburkan, kali ini beliau sedar rakyat tidak menyokongnya lagi.
Menurut beliau, Rafizi tahu tiada lagi janji yang mereka mampu tawarkan kerana semua janji sebelum PRU-14 tidak dapat ditunaikan setelah 22 bulan memerintah.
“Jadi sekarang Rafizi ubah strategi dengan mengugut rakyat kononnya desakan UMNO supaya dipercepatkan PRU-15 adalah kerana mahu menyelamatkan kluster mahkamah.
“Sebenarnya yang Rafizi takut adalah mereka akan menjadi kluster mahkamah setelah BN menang,” katanya melalui aplikasi WhatsApp kepada MalaysiaGazette hari ini.
Mustapha mengulas kenyataan Rafizi pada program Ayuh Malaysia malam tadi bahawa penurunan sokongan orang Melayu terhadap UMNO menjadi sebab mengapa parti itu begitu terdesak untuk mengadakan PRU-15 lebih awal.
Bekas Ahli Parlimen Pandan itu mendakwa, tinjauan partinya baru-baru ini mendapati sokongan orang Melayu terhadap UMNO telah menurun daripada 27 peratus kepada 18 peratus.
Mustapha memberitahu, UMNO meminta supaya PRU-15 dipercepatkan bukan kerana parti itu terdesak, sebaliknya berasaskan kepada kedudukan kerajaan yang tidak stabil di bawah pimpinan Tun Dr. Mahathir Mohamad dan Tan Sri Muhyiddin Yassin dahulu.
Beliau menegaskan, UMNO mahu kuasa dipulangkan semula kepada rakyat melalui PRU-15 setelah melihat negara dibebani dengan ketidakstabilan kerajaan serta situasi ekonomi tidak menentu.
“Pelabur tidak mahu melabur. Pelabur yang sedia ada melarikan diri. Negara perlukan politik untuk mendapat kestabilan ekonomi. Siapa yang mahu percaya politik Malaysia stabil kalau dalam masa empat tahun Perdana Menteri bertukar tiga kali?” soalnya.
Mustapha turut mempersoalkan sama ada kajian yang dipetik Rafizi itu dilakukan oleh Invoke.
“Kalau Invoke yang buat tidak hairan angka yang diperoleh menunjukkan sokongan kepada UMNO menurun kerana memang mereka mahu mempengaruhi pengundi atas pagar supaya percaya orang Melayu tidak menyokong UMNO dan mahu mereka beralih arah menyokong PH dan PKR,” jelasnya.
Beliau juga bertanya sejak bila Rafizi menjadi bomoh hujan dan ribut taufan serta sama ada taufan seperti di Amerika Syarikat pernah berlaku di negara ini.
Mustapha mengingatkan Rafizi yang sering dialami di Malaysia adalah hujan lebat pada musim tengkujuh.
“Kalau benar negara akan dilanda banjir besar sehingga menenggelamkan beberapa buah negeri, apakah pihak berkuasa seperti Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) dan Majlis Keselamatan Negara (MKN) akan membiarkan PRU-15 diteruskan?” soalnya lagi.
Pada masa yang sama, beliau meminta Rafizi sedar kata-katanya tidak laku lagi kerana rakyat sudah sedar bahawa beliau ialah ‘penipu teragung negara’.
Mustapha berkata, Rafizi sendiri seharusnya sedar prestasi buruknya sebagai seorang Melayu telah membawa malapetaka kepada orang Melayu dan negara.
Beliau menambah, Rafizi juga pernah menjadi kluster mahkamah namun bernasib baik kerana ‘diselamatkan’ oleh bekas Peguam Negara, Tan Sri Tommy Thomas.
“Nasihat saya kepada Rafizi, berhentilah menipu. Allah tidak akan meredai usaha untuk menyusahkan rakyat dan negara. Ingatlah kematian dan azab Allah,” katanya. – MalaysiaGazette