Ahmad Zahid Hamidi ketika ditemui selepas Majlis Penutup Bootcamp BNComms di Kem Permata Resort, Ayer Pa'abas, Melaka hari ini.

ALOR GAJAH – UMNO menetapkan tiga syarat terhadap Pas termasuk parti itu perlu keluar daripada gabungan Perikatan Nasional (PN) sebelum bekerjasama menghadapi Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU-15).

Dua lagi syarat, Pas perlu memutuskan hubungan politik dengan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) dan mengumumkan secara rasmi mereka sepenuhnya telah mufaraqah (berpisah) dengan PN dan Bersatu.

Presiden UMNO, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi berkata, semua syarat itu telah diketahui Presiden Pas, Tan Sri Abdul Hadi Awang dalam pertemuan mereka baru-baru ini.

“Saya telah nyatakan itu (tiga syarat kerjasama), lebih baik saya tidak menyebutkannya (pada sidang media). Mereka (Pas) mengetahui syarat-syarat itu dan kalau mereka memenuhi syarat-syarat itu, baru perundingan (kerjasama) boleh dilakukan dengan mereka,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui media selepas Majlis Penutup Bootcamp BNComms di Kem Permata Resort, Ayer Pa’abas di sini hari ini.

Mengulas lanjut, Ahmad Zahid berkata, setakat ini, tiada perbincangan secara rasmi diadakan peringkat kepimpinan di bawah presiden parti kedua-dua parti mengenai kerjasama itu.

“Jika ada pun, ianya dibuat secara informal atau tidak rasmi (dan) selagi Pas tidak membuat keputusan secara rasmi selagi itu kita tidak dapat merungkaikan apa juga isu dan perkara-perkara yang menjadi perbedaan antara kedua-dua parti,” katanya. – MalaysiaGazette.

1 Komen

  1. PAS tidak meletakan sebarang syarat…yg ada ada hanya ketetapan TIDAK akan bersama P unah H araPANkhianat serta P artti K encing R eformasi rakyat

Comments are closed.