Datin Mastura Mohd Yazid. Foto AFFAN FAUZI, 28 JULAI 2022.

KUALA LUMPUR – Jawatankuasa Pengurusan Bencana Banjir Daerah (JPBD) sudah bersedia menghadapi banjir yang dijangka berlaku pada akhir tahun ini.

Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Tugas-tugas Khas), Datin Mastura Mohd. Yazid berkata, Pasukan Petugas Persediaan Monsun Timur Laut telah ditubuhkan di bawah Ketua Setiausaha Negara, Tan Sri Mohd Zuki Ali bagi memastikan jawatankuasa itu berada dalam tahap yang optimum.

“Mesyuarat Task Force (Pasukan Petugas) akan diadakan secara berkala sehingga MTL bermula. Seramai 76,336 pegawai dan anggota agensi tindak balas di semua peringkat termasuk peringkat daerah berada dalam keadaan siap siaga sepenuhnya.

“Semua aset berjumlah 22,622 meliputi darat, air, udara, perubatan dan lain-lain,” katanya ketika menjawab pertanyaan lisan Datuk Rubiah Wang (Kota Samarahan-GPS) pada persidangan Parlimen, di sini, hari ini.

Rubiah bertanya mengenai status JPBD bagi menghadapi kemungkinan bencana banjir di negara ini.

Mengulas lanjut, Mastura berkata, daripada aspek pemantauan dan amaran awal, pihak Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) telah bersedia dengan 1,312 buah stesen telemetri hujan dan aras air, 526 buah siren amaran banjir dan 1,571 buah tolok lurus sedia serta 184 buah pam bergerak.

Dalam pada itu, kerajaan telah menyalurkan sebanyak RM50,000 kepada setiap daerah, manakala peruntukan berjumlah RM1.08 juta disalurkan kepada lapan agensi tindak balas sebanyak RM100,000 bagi setiap agensi.

“NADMA juga menyalurkan peruntukan sebanyak RM30,000 bagi pembekalan dua buah bot fiber berenjin untuk setiap daerah beserta jaket keselamatan. Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri (JPBN) akan melaksanakan perolehan bot tersebut.

“Bagi pengurusan mangsa, Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) menyediakan sebanyak 6,010 buah Pusat Pemindahan Sementara (PPS) di seluruh negara untuk menempatkan seramai 1,620,855 orang mangsa.

“Pihak JKM juga bersiapsiaga memaksimumkan fasiliti penyimpanan bantuan bencana di seluruh negara di lapan buah Depot Simpanan Keperluan Bencana (DSKB) di seluruh negara yang menjadi stor utama penyimpanan bekalan.

“Sebanyak 140 buah stor bencana di peringkat negeri dan daerah termasuk 53 buah mini depoh (kontena).

“Selain dari itu JKM juga mempunyai sebanyak 140 buah Stor Bencana di peringkat Negeri dan Daerah termasuk 53 buah Mini Depot (kontena),” kata Mastura.

Awal September lalu, Jabatan Meteorologi Malaysia (MetMalaysia) meramalkan, negara akan mengalami hujan lebat berterusan mulai pertengahan November ini yang membawa kepada banjir besar pada penghujung bulan berkenaan. – MalaysiaGazette