Gambar hiasan

PETALING JAYA – MCA telah menetapkan kerusi-kerusi yang akan ditandingi pemimpin tertingginya buat peringkat awal.

Sinchew Daily melaporkan, Presiden MCA, Datuk Seri Wee Ka Siong akan mempertahankan kerusi Ayer Hitam di Johor walaupun terdapat ura-ura bahawa DAP akan menghantar Ahli Parlimen Petaling Jaya, Tony Pua untuk berdepan Ka Siong di selatan.

Kemungkinan Tony dihantar ke selatan bagaimanapun mungkin tidak tinggi kerana Setiausaha Agung DAP, Anthony Loke pernah menyatakan partinya tidak menggalakkan “bidan terjun.”

Selain itu, Timbalan Presiden MCA, Datuk Seri Mah Hang Soon pula menerima sokongan MCA tempatan untuk bertanding semula di Tanjung Malim, Perak yang mana beliau kecundang kepada Chang Lih Kang dari PKR sebelum ini.

Walau bagaimanapun, UMNO tempatan dilaporkan juga mengintai tiket untuk bertanding di Tanjung Malim.

MCA memandang tinggi kerusi Tanjung Malim kerana ia dianggap “sebaris” dengan Gopeng dan juga Kampar, nasib parti itu di tiga kerusi ini justeru mungkin berantai.

Sementara itu, Setiausaha Agung MCA, Datuk Chong Sin Woon akan bertanding di Raub, Pahang dan beliau telah aktif di situ sejak 18 bulan lalu.

Bagi satu lagi kerusi di Pahang iaitu Bentong pula, bekas Presiden MCA, Datuk Seri Liow Tiong Lai dijangka akan diberi amanah untuk merampas semula kerusi itu.

Sementara itu, Timbalan Menteri Belia dan Sukan, Datuk Seri Ti Lian Ker dijangka akan dicalonkan di Kuantan, Pahang, dengan syarat UMNO merestui MCA bertanding di situ.

Timbalan Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri, Datuk Seri Lim Ban Hong pula dikhabarkan akan bertanding di Alor Gajah, Melaka. Selain Ban Hong, seorang lagi calon berpotensi ialah bekas Ahli Parlimen Alor Gajah, Koh Nai Kwong.

Selain itu, Timbalan Menteri Perusahaan Perladangan dan Komoditi, Datuk Seri Wee Jack Seng yang aktif di Tanjung Piai lebih 20 tahun dijangka mempertahankan kerusi itu di Johor.