Battersea
Ibu pejabat Apple Inc di Stesen Janakuasa Battersea, London

KUALA LUMPUR – Kritikan pembangkang satu ketika dahulu kononnya projek stesen jana kuasa Battersea di London merugikan negara kini terbukti tidak benar.

Pentadbir laman Facebook Najib Razak hari ini berkata, projek hartanah tersebut menjadi lokasi paling ikonik dan berpotensi di Eropah ketika ini serta mampu meraih pendapatan berpuluh bilion ringgit kepada Malaysia.

Malah, katanya, Apple sedang dalam proses membuka ibu pejabat United Kingdom (UK) mereka di projek Battersea yang dimiliki sepenuhnya oleh Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) dan Permodalan Nasional Berhad (PNB).

“Tak siapa pernah tuduh UK jual negara kepada Malaysia pula,” katanya secara sinis.

Beliau mengulas ciapan Twitter Ketua Pegawai Eksekutif Apple, Tim Cook berhubung pembukaan ibu pejabat syarikat itu di Battersea awal tahun depan.

“Kami tidak sabar untuk membuka pejabat baharu kami di stesen jana kuasa Battersea yang ikonik untuk menempatkan pasukan kami di London awal tahun depan.

“Ia merupakan penghargaan kepada bandar yang hebat ini serta menggambarkan komitmen kami terhadap masa depan Apple di UK,” katanya. – MalaysiaGazette