KUALA LUMPUR – Kerajaan komited memastikan undang-undang yang dirangka dan telah diumumkan akan dibawa dalam sidang Parlimen yang bermula hari ini.
Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Parlimen dan Undang-Undang), Datuk Seri Dr. Wan Junaidi Tuanku Jaafar berkata, Rang Undang-Undang (RUU) Pindaan kepada Kanun Keseksaan dan Kanun Tatacara Jenayah berkaitan peruntukan Anti-Menghendap (Anti Stalking) akan dibaca bagi kali kedua dan dibahaskan hari ini.
Selain itu, katanya, pindaan kepada pelbagai undang-undang seperti RUU Kanun Keseksaan (Pindaan) 2022; RUU Kanun Tatacara Jenayah (Pindaan) 2022; RUU Keadilan Jenayah (Pindaan) 2022; RUU Penculikan (Pindaan) 2022; RUU Senjata Api (Penalti Lebih Berat) (Pindaan) 2022; RUU Senjata (Pindaan) 2022 dan RUU Dadah Berbahaya (Pindaan) 2022 yang berkaitan pemansuhan hukuman mati mandatori juga akan turut dibawa untuk bacaan pertama dan kedua pada sidang Parlimen kali ini.
“Bagaimanapun, masih ada beberapa undang-undang yang dijangka dibentangkan pada mesyuarat kali ini tetapi belum mendapat kelulusan jemaah menteri sebelum RUU tersebut boleh dibentangkan dan dibahas di Parlimen.
“Antaranya, RUU Sumbangan Politik 2022, RUU Perkhidmatan Parlimen 2022, Akta Majlis Parlimen (Keistimewaan dan Kuasa) (Pindaan) 2022 dan Akta Insolvensi 1967.
“Selain itu, terdapat juga pindaan Perlembagaan Persekutuan yang juga dijangka dibawa pada sidang ini yang masih memerlukan kelulusan jemaah menteri seperti peruntukan berkaitan dengan RUU Perkhidmatan Parlimen, Larangan Ahli Dewan Negara bertukar parti, Pengehadan Tempoh Perdana Menteri dan Pindaan Berkaitan Isu Pelancongan Dalam Senarai Persekutuan.
“Saya yakin dengan semua pindaan yang dicadangkan ini, kerajaan telah mencapai matlamat terhadap transformasi kerajaan dan transformasi Parlimen dengan jayanya,” katanya dalam kenyataan kepada hari ini.
Wan Junaidi percaya, segala transformasi itu akan membawa kebaikan bersama kepada negara dan rakyat keseluruhanya memandangkan ia merupakan satu persetujuan dwi-partisan atas inisiatif kerajaan.
Katanya, sebanyak sembilan RUU yang sedia untuk bacaan kedua pada sidang ini yang diluluskan jemaah menteri dijangka dibuat bacaan pertama dan 10 RUU serta pindaan Perlembagaan termasuk daripada kementerian-kementerian lain. – MalaysiaGazette