KUALA LUMPUR – Ugutan Pakatan Harapan (PH) untuk menolak Bajet 2023 yang akan dibentangkan di Parlimen pada Jumaat ini tidak boleh diterima.
Exco Pergerakan Puteri UMNO, Dr Masliha Harun berkata, tindakan PH akan menyebabkan penjawat awam dan rakyat terkesan.
Menurut beliau, desakan supaya Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU-15) tidak diadakan tahun ini hanyalah satu retorik selepas PH mendedahkan niat untuk menolak Bajet 2023.
“Ugutan-ugutan begini tak boleh diterima dan hala tuju jelas negara perlu dilaksanakan segera serta hanya boleh dicapai jika kerajaan kita stabil dan kukuh.
“Jika lepas pembentangan mereka tidak setuju dan bajet tidak lulus maka kerajaan pun jatuh. Alasan PH tak nak ada PRU segera konon banjir hanyalah retorik sedangkan mereka pun memang berniat tidak mahu luluskan budget yang baik untuk rakyat,” katanya.
Oleh itu, menurut Masliha, tindakan membubarkan Parlimen dengan segera adalah tindakan yang tepat.
Melalui kerajaan dan mandat yang baharu maka bajet yang akan dibentangkan nanti dapat dilaksanakan dengan baik.
“Belum bentang pun PH telah menyatakan mereka tidak akan dan mempertimbangkan untuk tidak menyokong Bajet 2023 tersebut.
“Yang bakal terkesan siapa? Rakyat dan penjawat awam Negara. Sebab itulah Barisan Nasional bukan gila kuasa tapi dari awal menekankan bubar kerana kita perlukan Kerajaan yang stabil untuk melaksanakan program dan agenda negara.
“Once and for all, kita beri semula mandat kepada rakyat dan pilihlah kestabilan barulah ekonomi Malaysia akan dapat berkembang dengan jayanya,” kata Masliha.
Semalam, Ketua Pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim dilaporkan berkata, PH meneliti kemungkinan untuk menolak Bajet 2023 yang akan dibentangkan di Dewan Rakyat.
Anwar berkata, keputusan itu selepas mengambil kira tindakan kerajaan yang didakwa tidak telus dalam beberapa perkara penting.
“Kita sedang teliti (untuk menyokong atau menolak Bajet 2023).
“Kita nak tekankan soal pengurusan kerajaan dan rasuah, projek yang tidak telus seperti masalah pembelian ubat-ubatan termasuk vaksin, kontrak Digital Nasional Berhad (DNB) mengenai 5G yang sampai sekarang belum ada ketelusan,” kata Presiden PKR itu.
Berdasarkan MoU Transformasi dan Kestabilan Politik yang dimeterai 13 September tahun lalu, PH bersetuju untuk menyokong atau berkecuali dalam proses meluluskan apa-apa usul kerajaan atau rang undang-undang.- MalaysiaGazette
ARTIKEL BERKAITAN: