Presiden Parti Keadilan Rakyat (PKR), Datuk Seri Anwar Ibrahim ketika berucap pada sesi dialog Majlis Pelancaran The Script ‘For A Better Malaysia’ di Hotel Dorsett Grand Subang, Selangor. Foto AMIRUL SHAUFIQ, 02 OKTOBER 2022.

SUBANG – Pakatan Harapan (PH) masih meneliti sama ada mahu menolak atau menerima kandungan pembentangan belanjawan yang akan diumumkan kerajaan pada 7 Oktober ini.

Pengerusinya, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, PH mahu menekankan tentang soal pengurusan kerajaan serta langkah membendung gejala rasuah melibatkan projek-projek kerajaan yang tidak telus.

Katanya, ia termasuklah permasalahan mengenai pembelian ubat-ubatan termasuk pembelian vaksin serta kontrak Digital Nasional Berhad (DNB) yang didakwa tidak telus sehingga sekarang.

“Kita sedang teliti (sama ada terima atau tolak Bajet 2023) dan kita nak tekankan soal pengurusan kerajaan dan rasuah dan projek-projek yang tidak telus termasuk masalah pembelian ubat-ubatan termasuk vaksin, kontrak DNB sampai sekarang tidak ada ketelusan,” katanya kepada pemberita selepas Majlis Pelancaran Buku yang bertajuk Script tulisan beliau di sini hari ini.

Dalam pada itu, Anwar menegaskan, beliau akan mengemukakan usul mengenai kenaikan kos harga barang dan kos sara hidup kepada Yang Dipertua Dewan Rakyat, Tan Sri Azhar Azizan Harun untuk dibahaskan.

Beliau mendakwa telah membawakan usul tersebut kepada perdana menteri namun katanya Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob i tidak mahu usul berkenaan dibahaskan.

“Saya dah bawa usul-usul pembahas…bahas kos harga barang, kos sara hidup. Saya usul kepada perdana menteri tapi perdana menteri tak mahu bawa usul saya.

“…usul kos sara hidup dan kejatuhan ringgit yang menyusahkan rakyat,” dakwanya. – MalaysiaGazette

1 Komen

Comments are closed.