KAJANG – Belanjawan 2023 hanya akan menjadi satu bajet sandiwara sekiranya Pilihan Raya Umum (PRU) diadakan sejurus pembentangannya dibuat di Dewan Rakyat.
Ini kerana pembentangan bajet itu hanya akan menjadi satu pengumuman kosong ekoran tidak dapat dibahaskan oleh ahli-ahli Parlimen, kata Pengerusi Sekolah Perniagaan Siswazah UniRazak, Prof. Dr Barjoyai Bardai apabila berkata,
“Pada saya kalau sudah dibentangkan belanjawan dan ia tidak diluluskan, jadi itu merupakan perbincangan kosong dan tak bermakna.
“Sebab selepas pilihan raya akan ada kerajaan baharu dan kerajaan baharu ini akan bentangkan pula belanjawan mereka dan belanjawan itu tidak akan sama.
“Ini kerana pada masa itu mungkin menteri kewangannya sudah lain, kerajaan pun lain,” katanya ketika ditemui selepas Perbincangan Khas Pra Bajet 2023 di Majlis Profesor Negara (MPN) di sini hari ini.
Bagi Barjoyai, sama ada belanjawan itu tidak perlu dibentangkan sekiranya mahu membubarkan Parlimen atau dibentangkan kemudian diluluskan baru Parlimen dibubar dan ia lebih baik.
Katanya, jika belanjawan itu pula cuba disorokkan, ia hanya akan menjadi satu gimik.
Tambah beliau, mengambil iktibar apa yang dilakukan oleh Pakatan Harapan (PH) dalam manifestonya yang tidak dapat dilaksanakan, perdana menterinya ketika itu, Tun Dr Mahathr Mohamad akhirnya mengaku apa yang dijanji tidak dapat dilaksanakan.
“Jadi, belanjawan ini boleh jadi apa sahaja, ia boleh pergi ke seluruh dunia tapi dia (kerajaan) tahu tak dapat dilaksanakan,” ujarnya.
Dalam pada itu, Barjoyai memberitahu, jika Parlimen dibubar pada 12 Oktober ini sebagaimana khabar angin, ia bermaksud pembentangan itu menjadi tidak bermanfaat.
Ini kerana, pembentangan yang dibuat akan didebatkan terlebih dahulu di Dewan Rakyat oleh ahli-ahli Parlimen dan ia akan mengambil masa sekurang-kurangnya sebulan sebelum dapat diluluskan.
“Sepatutnya belanjawan itu diluluskan dahulu baru dibubarkan Parlimen kerana ia akan terus dilaksanakan oleh pelaksana dasar iaitu kakitangan kerajaan,” katanya.- MalaysiaGazette