Agenda memperkasa warga emas dan Orang Asli terus diperhebat apabila lebih RM1 bilion peruntukan disediakan untuk golongan itu tahun depan.- Gambar hiasan

SAMBUTAN Hari Warga Emas Antarabangsa Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNIDOP) diadakan pada 1 Oktober setiap tahun bagi meningkatkan kesedaran mengenai isu yang dihadapi warga emas serta meraikan sumbangan warga emas. Sesuai dengan keadaan semasa di mana cabaran baharu seperti pandemik Covid-19, krisis kos sara hidup dan perubahan iklim menyelubungi seluruh dunia, tema UNIDOP tahun ini "Ketahanan Warga Emas dalam Dunia yang Berubah" menekankan keperluan untuk mengukuh ketahanan warga emas.

Memandangkan Malaysia sudah mencapai status “negara menua” dan akan menjadi “negara tua” menjelang 2044, mustahak untuk Malaysia memantapkan sistem perlindungan sosial agar semua warga emas dapat menikmati hidup yang selesa dan bermaruah. Bagi menjamin pendapatan asas setelah bersara, pencen insurans sosial wajar dilaksanakan bagi menangani kekangan perlindungan dan ketidakcukupan simpanan pada usia tua.

Majoriti rakyat Malaysia tidak mampu untuk bersara

Menurut Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP), rakyat Malaysia memerlukan sekurang-kurangnya RM600,000 untuk bersara dengan selesa di Kuala Lumpur selepas mengambil kira kenaikan harga, kos rawatan biasa/pesakit luar dan keperluan lain. Meskipun di Alor Setar, tempat paling murah untuk bersara, seseorang memerlukan sekurang-kurangnya RM480,000. Ini membimbangkan memandangkan hanya 4% daripada pencarum KWSP mampu bersara dengan mempunyai sekurang-kurangnya RM600,000 dalam simpanan. Lebih kurang separuh daripada pencarum berusia 54 tahun mempunyai simpanan kurang daripada RM50,000. Dengan jumlah ini, pencarum yang membuat pengeluaran penuh pada umur 55 tahun hanya boleh berbelanja sebanyak RM1,000 sebulan selama 4 tahun. Simpanan ini akan habis lebih cepat jika mereka mempunyai perbelanjaan di luar jangkaan seperti kos perubatan.

61% penduduk umur bekerja tidak dilindungi oleh skim persaraan

61% rakyat Malaysia dalam umur bekerja tidak mencarum ke dalam tabung persaraan dan tidak mempunyai sebarang jaminan pendapatan semasa hari tua. Di Malaysia, hanya dua kumpulan warga emas menikmati jaminan pendapatan asas: (1) warga emas ‘miskin’ yang layak menerima Bantuan Warga Emas (BWE), dan (2) kakitangan awam yang layak mendapat pencen. Kedua-duanya dibiayai cukai dan tidak bergantung kepada simpanan individu. Selebihnya bergantung kepada KWSP dan skim persaraan swasta yang secara amnya hanya meliputi pekerja formal dan pencarum sukarela yang berpendapatan tinggi.

Mereka yang tersisih dari semua skim persaraan dirujuk sebagai " golongan tengah yang tercicir ": tidak cukup miskin untuk mendapat bantuan kebajikan, bukan pekerja kerajaan lalu tidak menerima pencen dan pekerja sendiri tanpa majikan yang boleh membantu mencarum kepada KWSP. Golongan tengah yang tercicir ini termasuk individu bekerja sendiri, pekerja gig, peniaga kecil dan pekerja pertanian, serta mereka di luar pasaran buruh seperti suri rumah dan orang kurang upaya.

Status quo semasa perlu anjakan

Mereka yang tidak cukup simpanan perlu mencari jalan untuk menanggung kehidupan di hari tua di sebalik peningkatan kos sara hidup dan perubatan. Kita tidak boleh lagi hanya bergantung kepada sokongan keluarga kerana bilangan anak yang semakin rendah lantaran penurunan kadar kesuburan, serta trend tiga generasi tinggal bersama yang berkurangan.

Antara cadangan untuk memperkukuh simpanan persaraan termasuk meningkatkan caruman majikan untuk pekerja bergaji rendah, mengagihkan kadar dividen yang lebih tinggi untuk pencarum yang mempunyai simpanan rendah dan memanjangkan tempoh caruman sehingga umur 65 tahun.Bagaimanapun, langkah ini hanya membantu pencarum KWSP yang mewakili satu pertiga daripada penduduk umur bekerja.

Bank Dunia menyarankan peningkatan umur persaraan bagi memastikan warga emas masih menjana pendapatan dan menyimpan. Walau bagaimanapun, masih terdapat kekangan dengan saranan ini. Rakyat Malaysia kini hidup lebih lama, namun tidak semestinya dalam keadaan sihat. Justeru, tidak semua orang mampu bekerja pada usia emas mereka. Kita perlu menutup jurang-jurang dalam sistem persaraan kita, tetapi langkah yang diambil memerlukan suatu anjakan paradigma melangkaui perubahan kecil.

Menabung secara kolektif untuk persaraan melalui Pencen Insurans Sosial

Pencen insurans sosial (social insurance pension, SIP) adalah suatu model mampan yang wajar dipertimbangkan ke arah mencapai matlamat pendapatan asas sejagat bagi warga emas. Dalam model ini, setiap orang menyumbang sejumlah kecil secara konsisten kepada dana ini sejak awal dan sepanjang mereka bekerja. Bagi mereka yang tidak mampu mencarum seperti pengasuh tidak bergaji, penganggur atau golongan berpendapatan sangat rendah, kerajaan harus membantu mencarum bagi memastikan kesinambungan caruman.

Kaedah ini memberi masa untuk dana kolektif ini berkembang. Setelah umur persaraan dicapai, pencarum boleh meraih manfaat dan menerima pencen asas bulanan seumur hidup. Pendapatan ini boleh digunakan untuk menampung keperluan asas, manakala duit simpanan sendiri boleh digunakan untuk hidup lebih selesa. Ada juga yang mengesyorkan model lain yang tidak memerlukan caruman iaitu pencen sosial, di mana pencen dibiayai cukai. Model ini sebenarnya sudah dilaksanakan di Malaysia tetapi pada skala yang kecil dalam bentuk BWE untuk golongan miskin.

Jadi, langkah seterusnya adalah untuk membesarkan skim BWE menjadi skim pencen sosial sejagat. Walau bagaimanapun, cadangan ini akan menelan kos yang besar. Malaysia masih berpeluang untuk membuat persiapan lanjut dalam menghadapi penuaan penduduk. Jika kita bermula awal dalam membina dana kolektif dengan penyertaan kohort umur bekerja baharu, kita mampu menjamin pendapatan asas (guaranteed basic income) apabila mereka mencapai umur persaraan dalam tempoh 30 – 35 tahun akan datang.

Walau apa pun pilihannya, perbincangan dan tindakan perlu bermula sekarang. SIP adalah antara langkah yang boleh diambil untuk membangunkan sistem pencen yang mampan dan saksama di Malaysia dan memberi jaminan pendapatan pada hari tua. Walaupun SIP hanya boleh membuahkan hasil pada masa hadapan, benih perubahan mesti disemai sekarang.

Oleh: Puteri Marjan Megat Muzafar dan Jarud Romadan Khalidi
Penyelidik di Institut Penyelidikan Khazanah

Artikel ini adalah pandangan penulis dan tidak semestinya mencerminkan kedudukan rasmi KRI