Fakulti Komunikasi dan Pengajian Media, Universiti Teknologi MARA.
Fakulti Komunikasi dan Pengajian Media, Universiti Teknologi MARA.

KUALA LUMPUR – Alumni Fakulti Komunikasi dan Pengajian Media, Universiti Teknologi MARA (UiTM) membantah penggabungan dua fakulti yang diumumkan pihak universiti baru-baru ini.

Ia membabitkan Fakulti Komunikasi dan Pengajian Media serta Fakulti Sains Komputer dan Matematik yang dikenali dengan entiti baharu iaitu Kolej Pengkomputeran, Informatik dan Media.

Menurut Presiden Alumninya, Basree Rakijan tindakan tersebut disifatkan melemahkan pendidikan asas komunikasi massa iaitu menyampaikan maklumat kepada orang ramai.

“Kami tidak bersetuju dengan tindakan ini kerana ia akan melemahkan pendidikan asas komunikasi massa iaitu menyampaikan maklumat kepada orang ramai. Pelajar komunikasi hendaklah dilatih dengan kepakaran yang diamalkan menerusi pelbagai media seperti akhbar, majalah, radio, televisyen, filem, media sosial dan internet.

“Platform ini memerlukan kemahiran berfikir dan membuat analisis, kreativiti serta kepakaran mencipta kandungan. Malah sebenarnya, mata pelajaran yang sepatutnya diberikan penekanan adalah yang berkaitan dengan sains sosial dan kemanusiaan,” katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.

Basree berkata, pihak alumni mengalu-alukan satu sesi perbincangan dengan pihak universiti dilakukan terlebih dahulu sebelum keputusan penggabungan dibuat.

Jelas beliau, ia dapat memberi kefahaman mendalam pentingnya mengekalkan imej serta penjenamaan fakulti yang dibina lebih lima dekad.

“Graduan kita telah pun membuktikan kemampuan mereka sebagai pemimpin industri di dalam bidang percetakan, penyiaran, periklanan, perhubungan awam, filem dan media sosial. Dalam persekitaran di mana gejala salah maklumat (misinformation) berleluasa adalah penting para pelajar dilatih sebagai komunikator yang baik.

“Walaupun pengajian komputer dan informasi itu sangat berfaedah, tetapi kepada para pelajar komunikasi ia adalah satu mata pelajaran teknikal yang hanya menjadi alat dalam penciptaan kandungan. Tambahan pula, kebelakangan ini pengamal media telah pun menerima pakai penggunaannya,” jelasnya.

Menurut Basree lagi, pihak alumni merancang untuk mengadakan perbincangan bersama universiti, pemegang taruh dan wakil daripada pelbagai organisasi dalam industri mengenai isu ini.

Sebelum ini, Naib Canselor UiTM, Profesor Datuk Dr Roziah Mohd Janor memaklumkan, universiti mengambil langkah menubuhkan kolej pengajian dengan menggabungkan beberapa fakulti sebagai langkah memastikan kursus ditawarkan terus relevan. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube : MalaysiaGazette TV
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast