Pengurus AmBank Jalan Raja Chulan, R. Uma Devi ketika hadir perbicaraan bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak bagi sambung perbicaraan kes pengubahan wang haram membabitkan dana 1Malaysia Development Berhad (1MDB) di Kompleks Mahkamah Kuala Lumpur. Foto AFFAN FAUZI, 28 SEPTEMBER 2022.

KUALA LUMPUR – Datuk Seri Najib Tun Razak tidak pernah mengeluarkan wang daripada dua akaun AmIslamic beliau walau terdapat berbilion ringgit di dalamnya.

Pengurus AmBank (M) Berhad cawangan Jalan Raja Chulan, R. Uma Devi yang mengesahkan perkara berkata, bekas Perdana Menteri itu juga tidak mengeluarkan sebarang cek atas namanya daripada akaun tersebut.

Beliau menyatakan demikian ketika disoal oleh peguam bela, Tan Sri Muhammad Shafee Abdullah.

Peguam, Tan Sri Muhammad Shafee Abdullah keluar dari mahkamah selepas hadir prosiding permohonan mendapatkan passport sementara ke luar negara di Kompleks Mahkamah Kuala Lumpur. Foto AFFAN FAUZI, 25 OKTOBER 2021.

“Saya cadangkan kepada anda, adakah anda bersetuju bahawa bagi seseorang sepertinya wang tunai akan menjadi lebih mudah kerana kebiasaannya rakyat Malaysia menggunakan wang tunai apabila berbelanja?” soalnya.

Kata Uma Devi, ia terpulang kepada pemilik akaun sama ada mahu menggunakan tunai atau cek.

Sementara itu, Uma Devi mengesahkan bahawa semua cek yang dikeluarkan Najib daripada akaunnya dibuat kepada organisasi dan parti politik.

Tambah Uma Devi, Najib juga tidak mengeluarkan sebarang cek daripada akaun AmBanknya untuk kegunaan sendiri.

Najib berdepan empat pertuduhan menggunakan kedudukannya mendapatkan suapan berjumlah RM2.3 bilion daripada dana 1Malaysia Development Berhad (1MDB) dan 21 pertuduhan pengubahan wang haram membabitkan jumlah sama.

Bekas Perdana Menteri turut berdepan hukuman penjara sehingga 20 tahun dan denda sehingga lima kali jumlah atau nilai suapan atau RM10,000, yang mana lebih tinggi, jika didapati bersalah.

Kesemua pertuduhan mengikut Seksyen 4 (1)(a) Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram dan Pencegahan Pembiayaan Keganasan (AMLATFA), yang memperuntukkan denda maksimum RM 5 juta dan penjara sehingga lima tahun atau kedua-duanya sekali, jika disabitkan kesalahan.

Prosiding bersambung esok di hadapan Hakim Mahkamah Tinggi, Datuk Collin Lawrence Sequerah. – MalaysiaGazette