KUALA LUMPUR – Pakatan Harapan (PH) dikatakan hanya beretorik apabila enggan membubarkan Dewan Undangan Negeri (DUN) di Pulau Pinang, Negeri Sembilan dan Selangor.
Ahli Majlis Kerja Tertinggi UMNO, Datuk Dr. Mohd. Puad Zarkashi berkata, seperti yang dinyatakan oleh Presiden PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim semalam, PH berbuat demikian kerana tidak mahu menambah derita dan penderaan kepada rakyat yang terpaksa mengharungi masalah banjir.
“Hebat retorik PKR. Kalau begitu apa perlunya Pilihan Raya Kecil (PRK) Parlimen Permatang Pauh 2008? Apa perlunya Langkah Kajang 2014? Apa perlunya PRK Parlimen Port Dickson 2018?
“Tidakkah itu pembaziran dan penderitaan,” katanya dalam hantaran Facebook miliknya, hari ini.
Terdapat kemungkinan tiga negeri yang dikuasai PH tersebut mengadakan pilihan raya negeri (PRN) secara berasingan sekiranya Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU-15) diadakan hujung tahun ini.
Sebelum itu, negeri-negeri yang dikuasai Pas iaitu Kelantan, Terengganu dan Kedah turut memutuskan tidak akan membubarkan DUN masing-masing tahun ini.
Mohd. Puad mendakwa, PRK Parlimen Permatang Pauh berlaku kerana Anwar mahu menubuhkan kerajaan baharu pada 16 September 2008.
“Langkah Kajang 2014 adalah idea Rafizi Ramli untuk singkir Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim dan diganti oleh Anwar. Akhirnya Datuk Seri Mohamed Azmin Ali yang jadi Menteri Besar,” dakwanya.
Beliau menambah, PRK Parlimen Port Dickson pula berlaku kerana Anwar yang baru dibebaskan dari penjara mahu jadi Perdana Menteri selepas Tun Dr. Mahathir Mohamad.
“Akhirnya jadi PM tepi. Rakyat menderita kerana buang masa. Banjir kerana kencing PH lebih bahaya. Derita rakyat berpanjangan,” katanya. – MalaysiaGazette