Mohamad Azlan Al Amin menunjukkan laporan polis yang dibuat di perkarangan Balai Polis Jerteh Terengganu.

KUALA LUMPUR – Jutawan hartanah, Mohamad Azlan Al Amin mahu  menyaman seorang individu yang bertindak menyebarkan fitnah berkaitan diri dan perniagaannya sejak September lepas.

Mohamad Azlan telah membuat laporan polis  berhubung individu berkenaan lewat malam tadi Balai Polis Jerteh, Terengganu.

Bercakap kepada MalaysiaGazette, kata Pengarah Urusan Azlan Al Amin Group Holdings Sdn Bhd itu berkata, perbuatan individu itu telah mengundang kebimbangannya ekoran tindakan si pelaku membocorkan maklumat-maklumat sulit berkaitan pelanggannya yang diperoleh dengan cara salah.

“Saya tidak pasti apakah motif sebenar individu ini bertindak sesuka hatinya menulis di Facebook tentang diri saya dengan cara yang begitu jelik sekali. Saya tidak pernah berurusan dengannya sebelum ini.

“Lebih tidak bertanggungjawab apabila individu ini juga telah bertindak membocorkan maklumat pembeli-pembeli tanah saya yang sedia ada, mungkin melalui maklumat yang diperoleh daripada bekas pekerja yang pecah amanah. Perkara ini sangat berniat jahat dan menimbulkan rasa tidak selesa pelanggan saya.

”Mereka juga cuba hasut orang ramai dan pembeli tanah saya dengan agenda tertentu.

“Saya telah dinasihatkan oleh pihak berkuasa termasuklah barisan peguam untuk membuat laporan polis dengan segera, selain memfailkan saman fitnah RM15 juta terhadap individu ini.

”Perbuatan ini bukan sahaja sesuatu yang langsung tidak boleh dimaafkan sebaliknya saya tidak akan berkompromi dengan insiden seperti ini,” katanya.

Turut difahamkan, ramai dalam kalangan pembeli tanah akan membuat laporan polis berhubung perkara ini terutamanya dalam isu kebocoran data peribadi mereka dalam laman sosial.

Mohamad Azlan nekad mengambil tindakan undang-undang itu selepas imej dan reputasinya tercalar teruk akibat kenyataan-kenyataan yang dikeluarkan pelaku itu.

“Sebelum ini juga ada kes yang fitnah saya, ada yang telah saya saman dan ada juga yang tampil mohon maaf serta berjanji tidak akan buat lagi. Pada saya, tujuan saya saman bukanlah untuk dapatkan wang mahupun menjatuhkan pelaku itu.

“Tetapi tindak tanduk mereka menggunakan kuasa media sosial untuk menjatuhkan reputasi serta imej telah mengganggu gugat emosi keluarga dan pekerja-pekerja saya adalah satu perbuatan yang tidak beretike serta perlukan pengajaran.

“Macam-macam mereka tuduh saya, ada masa saya tahan tapi sejak akhir-akhir ini sejak bisnes saya semakin berkembang, saya telah dinasihatkan untuk menggunakan perundangan menyelesaikan isu sebegini. Ini bukan main-main lagi.

“Ini juga satu pengajaran kepada mereka yang suka tabur fitnah supaya tidak sesekali ulang perbuatan memfitnah seseorang tanpa bukti kukuh atau bercakap dan menulis mahupun mengeluarkan kenyataan sesuka hati. Walaupun mereka mohon maaf, saya tetap teruskan,” tegasnya.  – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast