Koh Keng Jee kali terakhir diketahui meninggalkan rumahnya dan suami di Taman Cheng Perdana, Melaka sekitar jam 8 pagi 16 Mac lalu.

MELAKA – Polis meminta bantuan orang ramai mengesan seorang surirumah berbangsa Cina berusia 55 tahun yang dilaporkan hilang sejak tujuh bulan lalu.

Ketua Polis Daerah Melaka Tengah, Asisten Komisioner Christopher Patit berkata, wanita itu, Koh Keng Jee kali terakhir diketahui meninggalkan rumahnya dan suami di Taman Cheng Perdana di sini sekitar pukul 8 pagi pada 16 Mac lalu.

Menurutnya, sejak itu, wanita terbabit gagal di kesan termasuk oleh telefon bimbitnya juga ditutup malah rakan-rakannya juga tidak mengetahui di mana Keng Jee berada.

“Semakan di Jabatan Imigresen juga mendapati tiada pergerakan keluar negara dikesan oleh wanita berketinggian 160 sentimeter, berambut hitam paras bahu dan berkulit cerah itu.

“Kali terakhir dilihat, dia memakai memakai baju-T serta berseluar panjang,” katanya dalam satu kenyataan  hari ini.

Jelasnya, berdasarkan keterangan suaminya, Keng Jee dilaporkan suka berjudi dan berhutang namun dia tidak menerima sebarang panggilan telefon atau petunjuk berkaitan kehilangan isterinya.

“Polis meminta kerjasama orang ramai yang mengenali atau mempunyai maklumat mengenainya supaya segera menghubungi Sarjan Ahmad Harun di talian 013-4025710 atau menghubungi Balai Polis Tanjung Minyak di talian 06-3353222,” katanya. – MalaysiaGazette.