Kerajaan mengumumkan bantuan awal persekolahan RM150 secara one-off kepada semua murid tanpa mengambil kira had pendapatan menerusi pembentangan Bajet 2023 hari ini. - Foto MOHD ADZLAN, 14 SEPTEMBER 2022.

GEORGE TOWN – Rata-rata ibu bapa menyambut baik pemberian bantuan awal persekolahan secara one-off berjumlah RM150 kepada semua murid menerusi Bajet 2023 yang diumumkan Menteri Kewangan, Tengku Datuk Seri Zafrul Abdul Aziz hari ini.

Menurut Noorafifi Ruslan, 33, pemberian RM150 itu dapat meringankan bebanan keluarganya dalam menguruskan perbelanjaan persekolahan tiga anaknya.

Noorafifi.

“Mungkin orang ramai ingat RM150 itu tidak banyak namun bagi kami yang mempunyai anak lebih daripada dua orang bersekolah ia amat diperlukan.

“Selain itu, duit yang disimpan bagi persekolahan anak itu juga boleh digunakan untuk persiapan mereka memasuki semula sekolah bagi sesi 2023,” katanya kepada MalaysiaGazette hari ini.

Sementara itu, suri rumah Nur Syamira Muhamad Thandayu Thapani, 28, menyifatkan pemberian bantuan awal persekolahan itu menunjukkan kerajaan prihatin dalam meringankan beban yang ditanggung rakyat.

Nur Syamira.

“Memang patut kerajaan berikan bantuan sebegini buat murid sekolah tanpa mengira had pendapatan keluarga kerana kos sara hidup kini bukan saja dirasai golongan B40 malah M40 tidak terkecuali.

“Bagi saya pemberian one-off ini sedikit sebanyak akan membantu ibu bapa dalam menguruskan persekolahan anak masing-masing tahun depan,” katanya. – MalaysiaGazette