Wan Rosdy Wan Ismail (tengah) bersama pelan Belanjawan Pahang 2023 di Kuantan, Pahang hari ini.

KUANTAN – Menerusi Belanjawan Pahang 2023, kerajaan Pahang menyasarkan kutipan hasil mencecah RM1.083 bilion pada tahun depan.

Menteri Besar Pahang, Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail berkata, angka itu merupakan unjuran hasil yang paling tinggi dalam sejarah dengan peningkatan sebanyak 4.52 peratus berbanding belanjawan negeri tahun lepas.

Daripada jumlah itu, sebanyak RM1.071 bilion akan diperuntuk bagi perbelanjaan mengurus merangkumi perbelanjaan emolumen, perkhidmatan dan bekalan, pemberian dan kenaan bayaran tetap serta perbelanjaan lain dan aset dengan peningkatan sebanyak RM40 juta atau 3.73 peratus berbanding tahun 2022.

“Manakala bagi perbelanjaan pembangunan, peruntukan yang akan disediakan adalah sebanyak RM318.83 juta. Jumlah ini merangkumi projek infrastruktur sebanyak RM143.53 juta dengan pembiayaan secara langsung.

“Sebanyak RM175.30 juta atau bersamaan 54.98 peratus adalah daripada pinjaman Kerajaan Persekutuan bagi membiayai Projek Bekalan Air,” katanya di Dewan Undangan Negeri (DUN) Pahang di Wisma Sri Pahang di sini hari ini.

Tambah Wan Rosdy, belanjawan negeri itu juga menggariskan lima strategi belanjawan utama iaitu merangsang kemajuan ekonomi, memperkukuh tadbir urus, membangun infrastruktur yang mampan, menjamin kesejahteraan rakyat dan membina generasi masa depan gemilang.

“Pembentangan belanjawan ini merupakan naskah yang mengandungi agenda pembangunan sosio-ekonomi yang mampan dan seimbang untuk negeri Pahang.

“Ia satu pakej pembangunan yang sarat dengan pelbagai bentuk imbuhan, bantuan, insentif serta rangsangan, demi memastikan rakyat menjadi fokus dalam segenap agenda negeri,” tambahnya.

Selain itu, bajet 2023 negeri ini merupakan satu manifestasi komitmen dan kesungguhan kerajaan negeri untuk melonjakkan Pahang ke satu kedudukan yang lebih baik, lestari serta berupaya menjadi antara penjana ekonomi terpenting negara.

Bersandarkan kepada perspektif ini, maka tema ‘Negeri Stabil, Rakyat Sejahtera’ telah dipilih menjadi pasak utama kepada keseluruhan Belanjawan Negeri Pahang Tahun 2023.

Wan Rosdy turut memaklumkan sehingga 7 Oktober 2022, Pahang telah berjaya mengutip hasil sebanyak RM1.037 bilion berbanding sasaran yang ditetapkan iaitu RM1.036 bilion.

“Ini bermakna, kita telah berjaya mencapai melebihi 100 peratus sasaran. Pada tahun ini, sehingga 30 September, Pahang telah mengumpulkan pelaburan berjumlah RM20.56 bilion.

“Pelaburan tersebut yang melibatkan RM9.55 bilion pelaburan domestik dan RM11.01 bilion pelaburan asing,” katanya. – MalaysiaGazette