Ekonomi Malaysia dijangka berkembang antara empat hingga lima peratus pada 2023.

KUALA LUMPUR – Prospek pertumbuhan ekonomi Malaysia pada 2023 kekal memberangsangkan meskipun berdepan cabaran global yang ketara seperti tekanan inflasi, ketidaktentuan fiskal dan perubahan iklim.

Menteri Kewangan, Datuk Seri Tengku Zafrul Aziz berkata, kerajaan mengunjurkan Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) pada 2023 adalah antara empat peratus hingga lima peratus.

“Bajet 2023 dirangka untuk menyediakan persekitaran kondusif dan memastikan keseimbangan antara keperluan ekonomi dan konsolidasi fiskal bagi menggalakkan pertumbuhan ekonomi, memupuk agenda kemampanan dan meningkatkan kesejahteraan rakyat,” katanya dalam prakata Laporan Tinjauan Fiskal 2023 yang disediakan Kementerian Kewangan.

Dalam pada itu, Laporan Tinjauan Fiskal 2023 melaporkan, defisit fiskal dijangka berkurang kepada 5.5 peratus daripada KDNK selaras dengan komitmen kerajaan mengukuhkan kedudukan kewangan.

Hasil kerajaan persekutuan pada 2023 pula diunjur lebih rendah sebanyak 15 peratus daripada KDNK atau sebanyak RM272.6 bilion.

Ia disebabkan kutipan hasil bukan cukai dijangka susut sebanyak 23 peratus kepada RM67 bilion pada 2023 berbanding 2022 susulan unjuran penerimaan dividen yang lebih rendah.

Bagaimanapun katanya, hasil cukai kekal sebagai penyumbang utama dan dijangka berkembang sederhana sebanyak 3.7 peratus kepada RM205.6 bilion.

Laporan itu menyebut, hasil berkaitan petroleum pula dijangka menyumbang 21.6 peratus atau RM58.9 bilion kepada pendapatan kerajaan dengan andaian purata minyak mentah global lebih rendah iaitu AS$90 setong. – MalaysiaGazette