KUALA LUMPUR – Majikan yang menggaji bekas banduan akan diberikan potongan cukai tambahan, kata Menteri Kewangan.
Datuk Seri Tengku Zafrul Abdul Aziz berkata, ia termasuk kepada bekas penghuni Sekolah Henry Gurney, institusi perlindungan dan pemulihan kerajaan serta pusat jagaan bukan kerajaan yang berdaftar di bawah Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM).
Menurutnya, golongan banduan turut mempunyai peluang bekerja dalam pelbagai bidang yang dikendali Jabatan Penjara.
Katanya, pada tahun 2023, sebanyak RM10 juta disediakan di bawah inisiatif Agropenjara bagi memperluas aktiviti pertanian dan perladangan melibatkan 70 hektar tanah penjara.
Peruntukan ini antaranya untuk meluaskan penternakan lebah kelulut di Penjara Prabebas Dusun Dato’ Murad Melaka dan meningkatkan bekalan ikan air tawar segar di Pusat Koreksional Kamunting Perak.
Tambahnya, berhubung kebajikan anak-anak di bawah jagaan institusi JKM, kerajaan akan menubuhkan Pusat Transit – Anjung Sinar sebagai pusat sementara untuk mereka berteduh sebelum mendapat pekerjaan dan memulakan hidup baharu.
Syarikat milik kerajaa juga akan membantu mereka dengan peluang pekerjaan bersesuaian. – MalaysiaGazette