KUALA LUMPUR – Tindakan 12 menteri daripada Perikatan Nasional (PN) mengutuskan surat kepada Yang di-Pertuan Agong bagi menyatakan pendirian mereka mengenai Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU-15) menunjukan perdana menteri sudah tidak mendapat kepercayaan.
Ahli Majlis Kerja Tertinggi (MKT) UMNO, Datuk Seri Ahmad Shabery Cheek berkata, tindakan itu menunjukkan kerajaan yang ada sudah tidak ada kesepakatan.
“Apabila 12 anggota Kabinet berutus surat terus kepada DYMM YDPA menunjukkan kerajaan ini sudah tidak ada kesepakatan. PM sudah tidak ada kepercayaan.
“Dalam team bola, kalau ada sekumpulan pemain menyatakan perbezaannya dengan pengurus pasukan kepada pemilik kelab bererti sudah tidak keserasian dalam team. Tukar pengurus, ganti pemain atau bubarkan team,” katanya.
Menurut Ahmad Shabery, tindakan 12 menteri itu merupakan satu bentuk ‘pemberontakan’ terhadap kerajaan.
Justeru, katanya, Kabinet yang ada tidak lagi mampu untuk bertahan dan kerajaan yang ada perlu dibubarkan.
“Langkah PN adalah pemberontakan dalam kerajaan yang dizahirkan secara terbuka. Pasukan ini sudah tidak boleh bertahan lagi untuk menghadapi apa jua cabaran selepas ini. Kerajaan sepatutnya sudah terbubar,” katanya.
Semalam media melaporkan 12 barisan menteri Perikatan Nasional (PN) mengutus surat kepada Yang di-Pertuan Agong bagi menyatakan pendirian supaya PRU-15 tidak diadakan tahun ini.
Menteri PN tidak bersetuju PRU-15 diadakan tahun ini kerana Jabatan Meteorologi meramalkan berlaku musim hujan lebat.
Keputusan itu juga bagi membenarkan ekonomi negara pulih sepenuhnya untuk memudahkan urusan rakyat.
Surat itu diutuskan kepada Yang di-Pertuan Agong selepas terdapat cakap-cakap kononnya Parlimen akan dibubarkan minggu ini.- MalaysiaGazette