Dr. Ibrahim Ali

KUALA LUMPUR – Bajet 2023 yang dibentangkan di Dewan Rakyat oleh Menteri Kewangan tidak sehebat seperti sebelumnya walaupun ia dikira belanjawan Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU-15).

Malah, kata Presiden Putra, Datuk Paduka Dr. Ibrahim Ali, banyak isu utama tidak disentuh dalam ‘bajet kais pagi makan pagi itu’ terutama untuk rakyat miskin.

Bajet itu juga tidak mengambil kira faktor kejatuhan nilai mata wang ringgit dan kadar inflasi yang menghimpit rakyat marhaen, di mana mereka sedang bergelut dengan kenaikan kos harga barangan asas.

“Bajet 2023 berjumlah RM327 bilion dianggap terbesar dalam sejarah. Namun bila diambil kira kejatuhan nilai mata wang, jumlah itu dalam US$ adalah sama dengan jumlah bajet untuk tahun 2022 iaitu kira-kira US$90 bilion.

“Jika dikira atau analisa secara terperinci, ianya sama dengan Belanjawan 2022 iaitu US$80 bilion. Dalam Ringgit Malaysia dikira naik kerana kejatuhan nilai ringgit yang amat teruk dan terburuk sejak 25 tahun yang lalu.

“Oleh itu, semua kenaikan kadar bantuan seperti Bantuan Keluarga Malaysia (BKM) dan lain-lain tidak banyak membantu apabila diambil kira kenaikan kos sara hidup yang terpaksa ditanggung oleh kelompok B40,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Menurut Ibrahim, manfaat yang diagihkan kepada rakyat tidak berlandaskan asas keperluan, seperti misalnya, semua murid bakal mendapat Bantuan Awal Persekolahan (BAP) tanpa mengira sama ada ibu bapa miskin atau kaya.

“Apalah nilai RM150 kepada seorang murid yang dihantar ke sekolah oleh pemandu dalam kereta mewah berhawa dingin, berbanding murid miskin yang terpaksa berjalan kaki berkilometer atau menaiki bas khas?

“Peruntukan bahagian bantuan yang diberikan kepada murid anak orang kaya sepatutnya diagih kepada murid miskin yang lebih memerlukan,” katanya.

Begitu juga, katanya, skim istimewa disediakan kepada peminjam untuk membayar balik hutang PTPTN, namun malangnya Bumiputera yang mengambil pinjaman MARA tidak disebut apa-apa keistimewaan dalam pembentangan bajet itu.

Kata Ibrahim, dalam bajet yang dibentangkan itu juga menyaksikan peruntukan besar diberikan kepada perkhidmatan awam.

“Perlu disedari, mereka adalah pihak yang bertanggung jawab untuk menentukan pelaksanaan dasar tersebut berjalan dengan baik. Selalunya penyelewengan dan ketirisan berlaku di peringkat pelaksanaan yang diurus oleh penjawat awan.

“Kegagalan dalam pelaksanaan adalah berpunca daripada kelemahan dan ketidaktegasan di pihak kakitangan awam. Saya harap bermula dari sekarang pemantauan lebih kemas, tersusun perlu diberikan terhadap proses pelaksanaan.

“Sudah tiba masanya diwujudkan agensi awam yang dianggotai orang awam dari pelbagai lapisan, diiktiraf dan dibiayai oleh kerajaan untuk memantau penjawat awam termasuk agensi penguatkuasa seperti SPRM, polis, Kastam, JPJ, Jabatan Pendaftaran Negara, Imigresen, Maritim dan semua kementerian termasuk Kementerian Pertahanan,” katanya.

Katanya, walaupun rasuah di negara ini ibarat kanser tahap empat namun Datuk Seri Tengku Zafrul Abdul Aziz langsung tidak menyentuh mengenai gejala itu dan langkah untuk memperkasakan integriti kakitangan kerajaan serta menyekat penyalahgunaan kuasa oleh orang politik dalam kerajaan. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube : MalaysiaGazette TV
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast