KUALA LUMPUR – Pelakon dan usahawan, Rozita Che Wan meluahkan kesyukuran apabila anak keduanya, Aniq Ezra berjaya menamatkan pengajian dalam sebuah majlis konvokesyen baru-baru ini.
Rozita atau mesra dipanggil Che Ta mengakui berbaloi selepas melaburkan sejumlah wang bagi membayar yuran anaknya di sebuah universiti swasta di ibu kota itu.
“Berbaloi la mak hang berkepak caqi duit nak bayaq fees Taylor’s University.. bukan sikit-sikit duit chek oiiii..
“Tapi syukur alhamduliilah, dengan izin Allah SWT double degree dalam tangan,” tulisnya dalam sebuah posting di laman Instagram semalam.
Berikutan kejayaan tersebut, Che Ta berharap anaknya yang berusia 24 tahun itu terus berusaha keras sekali gus dapat menjadi insan yang hebat di masa akan datang.
“I hope you will continue working hard to make yourself a completely successful man,” kata pelakon berusia 49 tahun itu.
Sementara itu, Che Ta turut mengakui teruja kerana kali pertama meraikan majlis graduasi anak dengan membawa sejambak bunga sambil bergambar di luar dewan.
“Kali pertama awak, pergi konvo anak, menggelupur la lupa beli bunga… rupanya dah macam taman bunga orang menjual kat dalam universiti tu,” ujarnya.
Untuk rekod, Che Ta dan pelakon, Zain Zaidin berkahwin pada Disember 2013 dan dikurniakan anak perempuan Aaisyah Dhia Rana yang kini berusia sembilan tahun.
Hasil perkahwinan sebelum itu, dia mempunyai dua anak lelaki iaitu Ammar Effendy, 26, dan Aniq Azzra, 24. – MalaysiaGazette