Antara pelajar yang mewakili 100 penerima sumbangan komputer riba daripada golongan B40 yang diinisiatifkan di Majlis Bersama Naib Canselor Profesor Datuk Dr. Roslan Sulaiman dan Ikrar Pelajar Baharu Sesi Akademik 2022/2023 sempena Minggu Perkasa Putra UPM Serdang hari ini. Ihsan Foto: Unit Foto UPM

SERDANG – Pendaftaran masuk pelajar baharu Universiti Putra Malaysia (UPM) sesi akademik 2022-2023 sebenarnya lebih bermakna kepada pelajar dari golongan miskin tegar B40 kali ini.

UPM sentiasa prihatin dan serius mengambil peduli dan memelihara aspek akademik dan kebajikan pelajar miskin dalam menjamin persekitaran pembelajaran sempurna.

Pihak universiti melancarkan tiga inisiatif penting bagi pelajar baharu kampus daripada golongan B40.

Naib Canselor UPM, Prof. Datuk Dr. Roslan Sulaiman berkata, pihaknya memperkenalkan sumbangan Putra Voucher, Komputer riba percuma dn bantuan data internet kepada pelajar dari golongan B40 itu di Majlis Bersama Naib Canselor dan Ikrar Pelajar Baharu sesi Akademik 2022/2023 hari ini.

Bercakap kepada MalaysiaGazette semasa melancarkan tiga inisiatif murni itu di hadapan 3,553 pelajar baharu UPM, Roslan berkata, inisiatif berkenaan diperkenalkan khusus untuk membantu para pelajar golongan B40 memudahkan pengajian mereka sepanjang berada dalam kampus.

“Putera Voucher adalah konsep bantuan pembelian makanan menggunakan aplikasi dalam telefon pintar di kafe makanan kampus UPM kepada seramai 200 pelajar bernilai jumlah RM32,000 daripada golongan B40 pelbagai tahun pengajian.

“Selain itu seramai 100 unit komputer riba turut dihulurkan kepada 100 pelajar B40 yang nilai keseluruhannya berjumlah RM300,000 hasil daripada sumbangan para staf UPM menerusi Pusat Pengurusan Wakaf, Zakat dan Endowmen (Wazan) UPM.

“Bantuan ketiga adalah Bantuan Data Internet kepada pelajar B40 UPM bernilai RM500,000 kepada 600 pelajar hasil inisiatif Pusat Pembangunan Maklumat dan Komunikasi (iDEC) (RM300,000) dan Bahagian Hal Ehwal Pelajar (BHEP) UPM bernilai RM200,000,” katanya.

Datuk Dr. Roslan Sulaiman melancarkan Putra Voucher makanan yang akan memanfaatkan 200 pelajar B40 di kampus UPM Serdang hari ini. – Unit Foto UPM Serdang

Beliau berkata demikian dalam majlis penyampaian ketiga-tiga jenis bantuan itu mensasarkan pelajar golongan B40 serta Ikrar Pelajar Baharu UPM sempena Minggu Perkasa Putra Sesi Akademik 2022 dan 2023 di Dewan Besar UPM Serdang pagi ini.

Dalam majlis tersebut, daripada 3,553 pelajar baharu yang berdaftar, 2,437 orang daripadanya adalah penuntut perempuan.

Roslan memberitahu, ketiga-tiga bantuan berkenaan dilaksanakan pihaknya sejak belum pandemik Covid-19 dan bilangan penerimanya meningkat kali ini.

“Keprihatinan sumbangan ini kami usahakan sepertimana keprihatinan kerajaan kepada pelajar dalam kumpulan B40 dan dengan segala usaha dan sumbangan Alumuni UPM, orang perindustrian dan individu perseorangan telah ditukarkan dalam bentuk komputer riba, baucer makanan dan pelan data kepada anak-anak golongan miskin tegar itu.

“Inisiatif ini dilaksanakan dengan harapan besar ia sekurang-kurangnya meringankan beban anak-anak kurang bernasib baik itu yang dihimpit kemiskinan supaya belajar dengan mudah dan selesa dan kami tidak mahu dia merasai sebarang kekurangan dalam kampus,” katanya lagi.

Bantuan pelan Data Internet UPM kepada pelajar golongan B40 di UPM yang disempurnakan oleh Naib Canselor UPM, Profesor Datuk Dr. Roslan Sulaiman dalam Majlis bersama Naib Canselor dan Membaca Ikrar Pelajar Baharu Sesi Akademik 2022/2023 sempena Minggu Perkasa Putra di UPM Serdang pada Ahad 9 OKTOBER 2022.Ihsan Unit Foto UPM

Justeru katanya, oleh kerana sistem pendidikan sekarang mendesak pembelajaran secara hibrid ia mewujudkan keperluan pelajar untuk menggunakan peranti digital.

Jelasnya, salah satu inisiatif menyediakan pelan data internet kepada pemilik komputer riba kerana berkemungkinan tahap mengakses kepada internet kurang efektif yang membolehkan UPM menangani masalah itu dalam menjamin suasana pembelajaran kondusif kepada anak-anak miskin itu.

“Apa yang menarik inisiatif kami disambut baik oleh ibu bapa golongan B40 yang begitu gembira kerana mengurangkan beban kewangan mereka dalam urusan pendidikan tinggi anak mereka untuk menaiki menara gading.

“Mungkin keluarga ini mempunyai lebih dua orang anak di universiti atau di IPT lain serta mungkin adik beradik mahasiswa B40 ini yang masih bersekolah dan sebagainya, jadi sumbangan kami dalam sedemikian rupa membantu keluarga meneruskan kelangsungan hidup, kurangkan beban.

“Apabila keluarga dia terbeban dan dihimpit masalah kewangan akibat kemiskinan, mereka tak boleh fokus dan menumpukan perhatian dalam pengajian di kampus dan peningkatan kemahiran insaniah merreka di universiti.

“Kepedulian dan sikap ambil berat UPM ini sudah pasti akan memastikan pendidikan mereka terpelihara setiap masa dan pada masa yang sama selagi ada sumbangan industri dan koporat di luar sana dan insya -Allah kita akan memperbanyakkan lagi bantuan ini mungkin kepada bukan hanya B40, tetapi juga untuk M40 ataupun T20 ataupun untuk semua pelajar,” tegas beliau. – MalaysiaGazette