KUALA LUMPUR – Berdepan banyak kegagalan selain puluhan ribu duit simpanan rugi tidak sedikit pun mematahkan semangat pelakon dan usahawan, Zara Zya meneruskan minat dalam dunia perniagaan.
Jika ikutkan, memang serik duit simpanan lebur begitu sahaja, berniaga pula tidak menjadi namun ada yang berpendapat, kebanyakan peniaga berdepan dengan kegagalan terlebih dahulu sebelum berjaya.
Enggan menjadi insan mudah berputus asa, Zara tetap mencari lubang perniagaan demi kelangsungan hidup pada masa hadapan kerana tidak mahu bergantung dengan dunia lakonan lakonan sampai bila-bila.
“Sebagai selebriti, saya juga kena ambil kelebihan dan sampai bila hendak berlakon apatah lagi saya suka berbisnes. Betul saya sudah melabur dalam macam-macam bisnes namun bermula dengan produk pertama dulu, saya belajar banyak perkara dan mendapat ilmu yang bukan sedikit.
“Saya sudah rasa semua iaitu untung rugi dan pernah kena tipu. Tetapi saya tidak boleh putus asa,” katanya.
Zara yang popular menerusi drama Love You Mr Arrogant ditemui pada Majlis Pengumuman Kerjasama antara Zara Zya dan Syarikat Gold Sand Empire Sdn Bhd dalam menghasilkan produk kesihatan wanita, Pasima di sini semalam.
Pada Ogos lalu, Zara, 37, membuka cawangan restoran minuman popular iaitu Bubble Bee by Zara Zya di Bandar Tasik Permaisuri menerusi kerjasama dengan pemiliknya yang juga pelawak, Shuib.
Mengenai bisnes terbaharunya pula, Zara atau nama sebenarnya Zainurul Razia Mohd Zainuddin mengambil masa lama untuk memberi persetujuan kerana mahu melihat dan mencuba sendiri kandungan produk itu.
Jelasnya, apatah lagi sebagai minuman kesihatan wanita, produk itu sesuai dengan dirinya untuk kekal aktif dan muda selain mengatasi masalah dalaman wanita.
“Sebelum ini, saya memang mengamalkan pengambilan bahan-bahan mentah asli seperti kunyit dan halia untuk menjaga kesihatan kerana saya alahan dengan ubat klinikal.
“Jadi selepas produk ini siap, saya mencuba dahulu dan perubahan yang saya alami memang ketara,” katanya. – MalaysiaGazette