Azleen Ambros

JOHOR BAHRU – Pembubaran Parlimen dilihat sebagai usaha memulangkan semula mandat kepada rakyat dan membetulkan kecelaruan demokrasi yang berlaku di Malaysia sejak Langkah Sheraton.

Ketua Pergerakan Pemuda UMNO Bahagian Pasir Gudang, Azleen Ambros percaya proses pilihan raya sahaja kaedah terbaik menentukan kuasa pemerintahan.

“Ini kerana, sebagai seorang demokrat, saya percaya hanya melalui proses demokrasi sebenar iaitu proses pilihan raya sahajalah kaedah terbaik untuk menentukan pihak mana yang layak membentuk kerajaan.

“Untuk itu, kuasa untuk menentukan siapa yang layak dan berhak membentuk kerajaan kini beralih kepada pengundi dan rakyat,” katanya ketika dihubungi hari ini.

Beliau berkata demikian mengulas mengenai keputusan pembubaran Parlimen yang diumumkan Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob hari ini.

Dalam pada itu, pihaknya juga telah bersiap siaga dalam menghadapi Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU-15) nanti.

Sebelum ini, Azleen dalam kenyataannya optimis yang UMNO akan merampas semula kerusi Parlimen Pasir Gudang dalam PRU-15 nanti. – MalaysiaGazette