Dua beranak termasuk bayi berusia tiga bulan maut dalam kemalangan di Jalan Simpang Pulai-Cameron Highlands, Perak hari ini.

IPOH – Bayi lelaki serta ibunya maut dalam kemalangan selepas kenderaan yang dinaiki mereka bertembung dengan sebuah kereta lain di Jalan Simpang Pulai-Cameron Highlands di sini, hari ini.

Kejadian jam 12.30 tengah hari itu mengakibatkan wanita berusia 23 tahun serta anaknya berusia tiga bulan disahkan meninggal dunia di lokasi kejadian.

Manakala suami mangsa berusia 23 tahun yang memandu kereta jenis Perodua Myvi dilaporkan cedera parah.

Difahamkan, kejadian berlaku ketika kereta dinaiki tiga sekeluarga itu dari arah Cameron Highlands menuju Simpang Pulai sebelum berlanggar dengan kereta jenis Mercedes Benz dari arah bertentangan.

Pihak bomba sedang melakukan kerja-kerja mengeluarkan mangsa tersepit dalam kereta tersebut.

Jurucakap Jabatan Bomba dan Penyelamat Perak berkata, pihaknya yang  menerima panggilan kecemasan pada jam 12.46 tengah hari sebelum sepasukan anggota dikerahkan ke lokasi:

“Sebaik tiba kita dapati terdapat mangsa tersepit di bahagian tempat duduk kereta Perodua Myvi sebelum membantu mengeluarkannya.

“Dua mangsa dari kereta sama iaitu wanita dan bayi bagaimanapun disahkan meninggal dunia oleh pasukan perubatan di lokasi kejadian.

“Manakala pemandu Mercedes Benz berusia 30-an bagaimanapun hanya mengalami kecederaan ringan,” katanya dalam satu kenyataan media hari ini.

Tambah jurucakap itu, operasi membabitkan 11 anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat Simpang Pulai serta Unit Bantuan Perkhidmatan Kecemasan (EMRS) itu ditamat pada jam 2.45 petang.  – MalaysiaGazette