KUALA LUMPUR – Pengerusi Barisan Nasional (BN), Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi berkata, gabungan politik tamak kuasa adalah sesuai untuk yang enggan membubarkan Dewan Undangan Negeri (DUN) dikuasai mereka agar terus kekal mempertahankan kuasa.
Menurut beliau, mereka enggan menyerahkan kembali hak dan mandat rakyat untuk memilih sebuah kerajaan baharu kerana bimbang tidak dapat kekal sebagai kerajaan.
“Sanggup menyebabkan pembaziran untuk mengadakan pilihan raya negeri (PRN) secara berasingan gara-gara khuatir akan kehilangan kuasa.
“BN jika tamak kuasa seperti mereka boleh tidak membenarkan negeri yang ditadbirnya tidak membubarkan DUN, namun bukan itu tujuan politik BN,” katanya dalam hantaran Facebook miliknya, hari ini.
Terdahulu, Pakatan Harapan (PH) menyatakan, tiga negeri yang dikuasainya iaitu Negeri Sembilan, Selangor dan Pulau Pinang tidak akan membubarkan DUN serentak dengan pembubaran Parlimen.
Tiga negeri di bawah Pas iaitu Kelantan, Terengganu dan Kedah dijangka mengambil langkah serupa.
Ahmad Zahid menambah, naratif sedang dipropagandakan oleh musuh ketika ini adalah BN tamak kuasa apabila meminta Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15) diadakan.
Beliau memberitahu, ‘dalil’ baharu yang bertujuan mencipta persepsi jahat terhadap BN itu terpesong jauh daripada kebenaran mengenai tujuan sesebuah pilihan raya.
“Pertamanya, sesebuah pilihan raya termasuk PRU15 bermaksud menyerahkan kembali hak dan mandat kepada rakyat untuk memilih sebuah kerajaan baharu.
“Pilihan raya umum, kecil mahupun negeri adalah sebuah proses demokrasi melalui peti undi yang boleh disertai mana-mana parti politik atau individu yang layak,” jelasnya.
Presiden UMNO itu berkata, PRU15 bukan ‘upacara’ menyerahkan kuasa pentadbiran negara kepada BN tanpa ada pertandingan, sebaliknya sebuah proses undian rakyat yang menentukan.
“Justeru, dimanakah yang dikatakan BN tamak kuasa sedangkan yang berlaku pada PRU-15 adalah rakyat diberi mandat dan kuasa sepenuhnya untuk menentukan masa depan negara,” katanya.
Menurut beliau, alasan risiko ‘banjir besar’ juga sudah tidak lagi relevan sekiranya Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) menetapkan PRU15 berlangsung sebelum pertengahan November depan.
“Rakyat perlu menolak gabungan tamak kuasa terbabit yang jelas tidak peduli masa depan rakyat dan negara kecuali kepentingan politik mereka,” katanya. – MalaysiaGazette