Pengerusi Barisan Nasional, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi mempegerusikan Mesyuarat Majlis Tertinggi Barisan Nasional (BN) di Menara Dato' Onn, Pusat Dagangan Dunia (WTC), Kuala Lumpur. Foto AMIRUL SHAUFIQ, 11 OKTOBER 2022.

KUALA LUMPUR – Manifesto yang akan ditampilkan oleh Barisan Nasional (BN) pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) akan berkisar mengenai kebajikan dan pembelaan rakyat.

Bendahari Agung BN Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein berkata, perkara itu dibincangkan oleh pemimpin-pemimpin BN yang bermesyuarat malam ini.

“Kedua kita bincangkan dekat-dekat masa kempen nanti mungkin bermacam janji akan dibuat oleh mereka yang tidak bertanggungjawab

“Saya nak ingatkan janji-janji mereka sebelum mereka diberikan peluang untuk memerintah berapa yang telah mereka tunaikan.

“Jadi saya harap bahawa semua yang diamanahkan untuk mengundi baca baik-baik dan sandarkan apa yang ada dalam manifesti masing-masing dan tindaka selepas diberikan peluang untuk menunaikan manifesto yang telah dibentangkan,” katanya.

Bendahari Agung Barisan Nasional, Datuk Seri Hishammuddin Hussein hadir ke Mesyuarat Majlis Tertinggi Barisan Nasional (BN) di Menara Dato’ Onn, Pusat Dagangan Dunia (WTC), Kuala Lumpur. Foto AMIRUL SHAUFIQ, 11 OKTOBER 2022.

Mesyuarat Dewan Tertinggi BN berlangsung di sini hari ini turut dihadiri Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob dan dipengerusikan oleh Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi.

Turut hadir Presiden MCA Datuk Seri Wee Ka Siong, Presiden MIC Datuk Seri S. Vigmeswaran dan Presiden PBRS Tan Sri Joseph Kurup.

Hishammuddin berkata, beliau yakin manifesto yang dibentangkan oleh BN akan ditunaikan.

Beliau yang ditemui selepas mesyuarat selesai berkata, senarai calon BN belum lagi dimuktamadkan.

Bagaimanapun calon yang akan diketengahkan adalah campuran pemimpin berpengalaman dan muka baru.

“Muka bau insya-Allah, itu sesuatu yang dberi penekanan dan kita telah buktikan dalam pilihan raya sebelum ini.

“Jadi saya rasa itu merupakan sesuatu yang telah dibuktikan, keputusan di peringkat negeri. Saya tidak nampaklah ia akan berubah sangat, daripada apa yang kita akan ketengahkan,” kata Hishammuddin.

Ismail Sabri membubarkan Parlimen pada Isnin lalu selepas mendapat perkenan Yang di-Pertuan Agong sekaligus memberi laluan kepada PRU15.-MalaysiaGazette