Pertubuhan Kemanusiaan Masyarakat Antarabangsa Malaysia (MHO) menggesa kerajaan negeri supaya tampil menyelesaikan isu penduduk Kampung Niatang, Pitas di Sabah yang sudah puluhan tahun terabai.

KOTA KINABALU – Pertubuhan Kemanusiaan Masyarakat Antarabangsa Malaysia (MHO) menggesa kerajaan Sabah menyelesaikan isu penduduk Kampung Niatang, Pitas di sini yang sudah puluhan tahun didakwa terabai.

Ini kerana usaha penduduk mendapatkan pemilikan tanah secara sah gagal walaupun sudah mendiami kampung tersebut sejak tahun 1998 lagi.

Setiausaha Agung MHO, Datuk Hishamuddin Hashim mendakwa, pihaknya terpanggil untuk tampil membela isu itu kerana ia dilihat melanggar hak asasi manusia sejak puluhan tahun.

“Permohonan pemilikan tanah sejak 1998 dipandang sepi, tiada kelulusan diterima. Untuk pengetahuan, mereka ini telah bercucuk tanam dan menetap di kampung tersebut berpuluh tahun lamanya.

“Namun baru-baru ini berlaku penyukatan tanah oleh pihak lain yang bertujuan untuk mengambil tanah Kampung Niatang menjadi milik mereka, hampir sebahagian daripada mereka terlibat dengan kerja-kerja pembersihan tanah oleh sebuah syarikat pemaju.

“Soalnya, penduduk-penduduk Sabah ini sangat miskin, amat daif sekali. Jika mereka ini hilang tempat tinggal, mana arah tuju mereka?” soalnya selepas menyerahkan memorandum kepada kerajaan negeri hari ini.

Kata Hishamuddin, keadaan Kampung Niatang agak daif tanpa bekalan elektrik, jalan tidak berturap serta tiada keperluan asas lain.

“Sedih sekali, sumber air mereka ialah tadahan air bukit. Saya juga difahamkan melalui MHO Sabah, kampung ini juga terlibat dalam kawasan tanah gazet Lembaga Industri Getah Sabah (LIGS) sebagai tempat program penanaman getah berkelompok daerah Pitas. Projek ini bermatlamat untuk membasmi kemiskinan di Pitas.

‘Hasilnya, 2,060 pokok getah telah ditanam dan pihak LIGS telah membelanjakan kos anggaran RM430,000 untuk Kampung Niatang melalui projek tersebut.

“Sehubungan itu, MHO telah serahkan memorandum kepada Ketua Menteri Sabah dan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia Sabah (SPRM) bagi perhatian pihak berkuasa menyiasat apakah yang sedang berlaku pada masa ini.

MalaysiaGazette sedang mendapatkan maklum balas dari pihak kerajaan negeri ketika ini berhubung masalah yang diketengahkan oleh MHO. -MalaysiaGazette