KUALA LUMPUR – Pakatan Harapan (PH) bersedia menghadapi Pilihanraya Umum Ke-15 dan berhadapan gerombolan yang telah mencurangi mandat pilihan raya umum yang lalu.
Pengerusi PH, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, gabungan parti itu juga bersedia untuk memungkinkan sebuah masa depan yang mampan, makmur serta sebuah pemerintah yang benar-benar prihatin dan punyai sikap belas kepada nasib dan kebajikan rakyat.
Katanya, Malaysia yang baharu di bawah PH pastinya akan memberi lebih penekanan yang mendalam kepada aspek-aspek tersebut dan akan berusaha sebaik mungkin bagi mengembalikan keyakinan rakyat.
“Saya menerima sepenuhnya keputusan Yang di-Pertuan Agong dalam memperkenan Parlimen dibubarkan kerana baginda bertindak berdasarkan peruntukan kuasa yang ada seperti yang termaktub di dalam Perlembagaan Persekutuan.
“Namun, yang dipersoalkan adalah niat pihak yang berkepentingan yang begitu gelojoh yang mahukan pilihanraya diadakan pada saat sekarang,” katanya dalam kenyataan malam ini.
Anwar yang juga Presiden PKR berkata, keputusan membubarkan Parlimen itu menampakkan Kabinet paling besar dalam sejarah negara ini tewas dan tunduk kepada tekanan dan kedurjanaan politik yang berkiblatkan kuasa dan wang ringgit.
Langkah itu, katanya, ternyata suatu penghinaan kepada rakyat Malaysia yang kini terbeban dengan kenaikan harga barang yang tinggi, gaji yang rendah, peluang pekerjaan yang tidak cukup untuk para siswazah serta kualiti pendidikan.
Rakyat juga menurut beliau, mendapat akses yang sangat rendah kepada kesihatan, simpanan yang tidak munasabah untuk usia persaraan, serta yang paling utama ancaman musibah banjir dan dampak buruk dari kemelut alam dan iklim.
“Musim banjir telah pun bermula tatkala sebahagian kawasan di Sabah di bandar-bandar seperti Kota Kinabalu, Tuaran dan Penampang telah ditenggelami air. Sebahagian kawasan sungai Muar berdekatan Kuala Pilah telah melimpah dan menjejaskan dua kampung dan kawasan sekitar.
“Di Baling lapan sungai telah melepasi paras bahaya. Pakar cuaca juga menjangkakan hujan lebat akan berterusan.
“Manusia, parti politik dan kerajaan jenis apakah yang berani dan sanggup mempertaruhkan nyawa dan nasib rakyat dengan mengadakan pilihanraya pada saat ini?” Soalnya.
Katanya, sejak pengkhianatan maha durjana yang telah menyebabkan kerajaan Pakatan Harapan jatuh rakyat telah lama menantikan saatnya untuk menghukum para pendiri kerajaan pintu belakang dan para pengkhianat.
“Tiba masanya untuk kita merampas semula negara ini dari kerakusan perompak dan penindas, serta dari gerombolan yang sibuk memperkayakan keluarga dan kroni mereka, manakala rakyat di bawah terus menderita menanggung kos sara hidup yang terus membengkak.
“Tentunya elit politik tidak memahami kesulitan yang dihadapi rakyat saat ini untuk mendukung keluarga mereka. Kepada anak-anak muda yang akan mengundi kelak, saya tekankan bahawa pilihan pada pilihan raya yang akan datang akan memberi kesan yang besar kepada masa depan rakyat dan negara.
“Kita perlu buat sehabis baik dalam memastikan negara ini mendepani permasalahan yang mendesak saat ini yakni kos sara hidup yang tinggi, akses kepada pendidikan yang berkualiti, mengembalikan keyakinan kepada ekonomi kita serta memastikan pelaburan yang setara buat Malaysia.
Anwar berkata, dalam siri jelajahnya ke seluruh negara ada kalangan rakyat menyuarakan kesungguhan mereka bagi menghukum para konspirator dan dalang Langkah Sheraton.
“Saya teruja dengan semangat yang dipaculkan.
“Dalam minggu-minggu yang mendatang, mari bersama kita membangkitkan semula semangat untuk menggapai sebuah Malaysia yang lebih baik dan merangkul segala kekuatan yang ada, tidak kira saat kita mahu mencapai kemerdekaan pada tahun 1957, penubuhan Malaysia 1963, atau peristiwa Reformasi 1998 dan juga kemenangan rakyat pada tahun 2018.
“Kita tidak ada pilihan tetapi mesti terus konsisten dengan semangat yang jelas, keberanian serta komitmen dalam mempaculkan sebuah Malaysia yang berketerampilan dan kuat,” katanya. – MalaysiaGazette