PUTRAJAYA – Ahli Parlimen Langkawi, Tun Dr Mahathir Mohamad mengesahkan akan mempertahankan kerusi yang didudukinya itu ketika ini pada Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15) akan datang.
Bekas Perdana Menteri yang juga Pengerusi Gerakan Tanah Air (GTA) bagaimanapun berkata, beliau bukan calon Perdana Menteri (PM) yang ke-10.
“(Parlimen) Langkawi calonnya ada Dr Mahathir Mohamad dan bukan sebagai calon Pperdana Menteri dan hanya calon wakil rakyat sahaja.
“Kita tidak tentukan siapa yang jadi Perdana Menteri kerana calon Perdana Menteri relevan kalau kita menang, kalau kita kalah tidak relevan,” katanya.
Beliau berkata demikian pada sidang media selepas mesyuarat GTA di Yayasan Kepimpinan Perdana di sini hari ini.
Pada PRU14, Mahathir yang berusia 97 tahun berjaya menewaskan pencabarnya dari Barisan Nasional (BN), Datuk Ir. Nawawi Ahmad dan calon Pas, Zubir Ahmad dengan majoriti 8,863 undi di Parlimen Langkawi.
Mahathir memperoleh sebanyak 18,954 undi dan seterusnya dilantik Perdana Menteri kali kedua selepas Pakatan Harapan berjaya membentuk kerajaan selepas Barisan Nasional kalah.
Sebelum ini, pada bulan Mac lalu, Mahathir yang juga Pengerusi Parti Pejuang Tanah Air (Pejuang) memberitahu tidak akan bertanding mempertahankan kerusi Parlimen Langkawi pada PRU15.
Beliau berkata, keputusan tersebut dibuat atas faktor usia dan kesihatannya yang belum pulih selepas menjalani rawatan di Institut Jantung Negara (IJN).
Selain itu, beliau juga ingin memberi peluang kepada calon baharu yang lebih muda dan sesuai untuk bertanding di Parlimen Langkawi.
Tetapi pada Jun lalu, Mahathir menyatakan kesediaan untuk mempertimbangkan cadangan bertanding dalam PRU15 bagi mempertahankan kerusi Parlimen Langkawi sekiranya tiada calon di sana. – MalaysiaGazette
GTA akan kalah teruk jika pengundi tolak pemfitnah dan putar alam.