Sulaiman Md Ali

MELAKA – Ketua Menteri Melaka Datuk Seri Sulaiman Md Ali bersedia untuk bertanding di mana-mana enam kerusi Parlimen negeri termasuk Masjid Tanah sekiranya diarahkan pucuk pimpinan parti.

Menurut Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Lendu itu, sebagai ahli yang cintakan parti, beliau akan menuruti apa sahaja saranan pucuk pimpinan parti untuk bertanding pada Pilihan Raya Umum Ke-15 tidak lama lagi.

“Saya ini orang Semenda dalam politik, dipanggil datang disuruh pergi…saya orang parti saya kasih cinta kepada parti, I’am the politician, orang politik.

“Kalau itu (ke Parlimen Masjid Tanah atau Alor Gajah) saranan oleh pihak pucuk pimpinan, dipanggil saya datang, di suruh saya pergi itu sahaja…tak kira mana-mana kerusilah, kerusi empuk ke kerusi tak empuk ke,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas merasmikan Majlis Pentauliahan Peguam Syarie Negeri Melaka 2022 di Pusat Dagangan Antarabangsa Melaka (MITC), Ayer Keroh, di sini hari ini.

Hadir sama Ketua Hakim Syarie Mahkamah Syariah Melaka, Datuk Mohd Nadzri Abdul Rahman.

Ditanya adakah keputusannya itu bermaksud pentadbiran kerajaan negeri juga akan menyaksikan pertukaran Ketua Menteri, Sulaiman berkata, ia tidak semestinya berlaku.

“Tak semestinya bertukar (Ketua Menteri) dan tak semestinya berada di situ, pemimpin datang pemimpin pergi, saya sayang kepada parti…ana mana pun di panggil saya datang disuruh saya pergi, itu saja, ini politik,” katanya.

Sebelum ini, timbul desas-desus mendakwa Sulaiman akan bertanding di Parlimen Masjid Tanah sekaligus menguatkan spekulasi Melaka mungkin akan menyaksikan pertukaran Ketua Menteri sekiranya Barisan Nasional (BN) menang PRU-15. – MalaysiaGazette.

 

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast