Ahmad Zahid BN Kit Siang rasuah
Ahmad Zahid Hamidi

KUALA LUMPUR – Barisan Nasional (BN) di bawah pengerusinya, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi dilihat berupaya memperoleh majoriti selesa pada Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU-15) bagi membentuk kerajaan yang membawa kestabilan dan kemakmuran kepada seluruh rakyat.

Memetik laporan Firstpost hari ini, penganalisis politik, D. Ravindran berkata, BN akan memenangi semula mandat yang hilang pada PRU-14 akibat pembohongan, janji palsu dan dasar yang gagal oleh Pakatan Harapan (PH) yang diketuai Tun Dr. Mahathir Mohamad ketika itu.

Menurut beliau, Ahmad Zahid yang pernah menjadi Timbalan Perdana Menteri di bawah pentadbiran Datuk Seri Najib Razak masih menjadi sekutu rapat bekas Perdana Menteri itu.

“Ahmad Zahid berusaha merancakkan semula negara kembali ke zaman kegemilangan seperti yang pernah dicapai semasa era Najib.

“Sehubungan itu, beliau berusaha untuk memperkasakan gagasan 1Malaysia yang diperkenalkan oleh Najib yang berteraskan kekuatan dalam kepelbagaian,” katanya.

Ravindran menambah, Ahmad Zahid yang juga Presiden UMNO memberi penekanan terhadap Bangsa Malaysia atau identiti Malaysia yang sebenar untuk semua rakyat tanpa mengira latar belakang etnik, kepercayaan agama atau wilayah.

Beliau memberitahu, langkah Ahmad Zahid juga membawa nafas baharu selepas dasar polarisasi kaum dan agama yang disebarkan dan dimanipulasi oleh rejim Dr. Mahathir.

“Selain itu, BN di bawah Ahmad Zahid berdepan krisis kemelesetan ekonomi yang bukan sahaja disebabkan oleh perkembangan global yang berterusan malah akibat kelemahan dasar fiskal dan luar negeri yang diamalkan oleh Dr. Mahathir dan dua kerajaan selepasnya sejak 2018.

“Ahmad Zahid berhasrat menyusun semula struktur cukai negara bagi memperkenalkan semula komponen seperti cukai barangan dan perkhidmatan (GST) dan mengkaji semula sistem perbankan untuk menerima pakai rangka kerja tanpa tunai dan digital yang semakin berkembang,” jelasnya.

Ravindran berkata, Ahmad Zahid juga berazam untuk menarik dan mempermudahkan aliran pelaburan langsung asing (FDI) dan pelaburan langsung domestik (DDI) terutamanya dengan negara-negara serantau seperti Indonesia, China dan India.

Menurut beliau, Ahmad Zahid ingin menjalinkan semula hubungan strategik dengan negara-negara serantau tertentu yang sebelum ini terjejas semasa pentadbiran Dr. Mahathir.

“Beliau telah mula menggariskan rancangan untuk mendekati dan menghidupkan semula hubungan dua hala antara Malaysia dengan Arab Saudi, Emiriah Arab Bersatu (UAE), ASEAN, China dan India,” katanya.

Secara khususnya, Ravindran berkata, Ahmad Zahid melihat India sebagai rakan strategik Malaysia yang penting dalam beberapa bidang kerjasama iaitu keselamatan serantau, inisiatif antikeganasan dan deradikalisasi, pembelajaran cukai dan perbankan yang boleh diterapkan dalam konteks Malaysia, teknologi pertahanan dan bioteknologi.

Bidang-bidang kerjasama lain yang boleh diterokai antara Malaysia dan India adalah teknologi maklumat generasi masa hadapan; keselamatan siber; eksport minyak sawit; ladang kontrak sawit dan getah; keselamatan dan pemprosesan makanan; penerokaan dan pemprosesan tenaga secara bersama serta projek infrastruktur seperti lebuh raya; jalan kereta api dan lapangan terbang di kedua-dua negara. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast