Anggota Bomba meninjau kawasan berisiko banjir bagi persediaan monsun timur laut dan fenomena air laut pasang besar bagi bulan September hingga Disember ketika di Pengkalan Nelayan Tok Muda Kapar, Klang. Foto MOHD ADZLAN, 12 SEPTEMBER 2022.

SHAH ALAM – Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Selangor bersiap siaga sebarang kemungkinan sepanjang fenomena air pasang besar yang dijangka melanda beberapa kawasan di Selangor sehingga Khamis ini.

Pengarah Bomba Selangor Norazam Khamis berkata, pihaknya akan memastikan pemantauan di sebelah pagi dan petang dibuat terutamanya di beberapa lokasi titik panas sepanjang fenomena air pasang tersebut.

”Antara lokasi titik panas yang dikenal pasti adalah Pelabuhan Klang, Kuala Selangor, Sungai Pinang, Teluk Panglima Garang, Sungai Besar, Sekinchan dan Kapar,” katanya ketika dihubungi Bernama.

Norazam turut menasihat orang ramai supaya sentiasa berwaspada dengan paras kenaikan air dan mengikut arahan pasukan penyelamat.

“Jika ada arahan untuk berpindah, mohon penduduk untuk mengikut nasihat pasukan penyelamat,” katanya.

Sementara itu, mengulas kejadian ban pecah di Tanjong Karang awal pagi semalam, beliau berkata ban tersebut telah siap dibaiki oleh Jabatan Pengaliran dan Saliran Selangor.

Pada Ahad lepas, Agensi Pengurusan Bencana Negara (NADMA) dalam perkongsian melalui Facebook memaklumkan bahawa Pusat Hidrografi Nasional meramalkan air pasang besar berlaku pada 8 hingga 13 Okt ini di beberapa kawasan iaitu Kuala Muda, Kedah; Bagan Datuk, Perak; Pelabuhan Klang, Selangor; serta Batu Pahat dan Pontian di Johor. – BERNAMA

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast