TANGGAL 10 Oktober 2022 menoktahkan segala kemelut politik negara yang berpanjangan sejak PRU-14, apabila Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong – Al-Sultan Abdullah Ri'ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah Ibni Al-Marhum Sultan Haji Ahmad Shah Al-Musta'in Billah – telah memperkenankan pembubaran Parlimen Malaysia pada tarikh keramat tersebut. Walau apapun alasan atau ‘modal’ politik yang cuba digembar-gemburkan oleh pelbagai pihak berkepentingan, hakikatnya, mandat telah dikembalikan kepada rakyat untuk memilih wakil-wakil mereka bagi membentuk kerajaan yang kukuh dan stabil dalam usaha memacu pembangunan negara di atas landasan yang betul untuk tempoh lima tahun akan datang.
Tsunami’ politik PRU-14 pada 9 Mei 2018 telah memberi ruang yang cukup luas kepada rakyat keseluruhannya untuk menilai prestasi serta kemampuan parti-parti politik sedia ada untuk mentadbir negara Malaysia yang tercinta ini. Tidak kira sama ada tempoh menjadi kerajaan selama 61 tahun atau 22 bulan, semua parti-parti politik utama tempatan telah diberi peluang untuk menjadi parti pemerintah atau blok pembangkang untuk tempoh yang memadai bagi rakyat menilai gagasan pentadbiran serta aspirasi kepemimpinan setiap satunya. Natijahnya, seperti ditegaskan Franklin D. Roosevelt bahawa “in politics, nothing happens by accident. If it happens, you can bet it was planned that way”, segala drama dan lakonan politik yang telah berlaku dalam tempoh lebih kurang empat tahun lima bulan sehingga mandat dikembalikan semula kepada rakyat kelmarin, berkemungkinan besar bakal berulang kembali sekiranya kebergantungan terus-terusan diberi kepada parti-parti atau ahli-ahli politik ‘kitar’ semula ini.
Pelbagai kepincangan urus tadbir, ketirisan, serta skandal yang mengesani ekonomi dan pembangunan negara secara tuntas telah diketahui dan difahami rakyat jelata secara terperinci. Harus diingat bahawa di era digitalisasi ini, segala informasi berada di hujung jari dan setiap individu rakyat sewajarnya tidak lagi menjadi ahli ‘totok’ parti politik yang menerima bulat-bulat apa sahaja yang disogok – dalam apa sahaja bentuk – para pemimpin mereka seperti dahulu. Ini kerana integriti majoriti kepemimpinan politik hari ini boleh dipersoalkan dari pelbagai sudut. Seseorang pemimpin – dalam apa jua kapasiti – secara asasnya bukan sahaja harus ‘bersih’ tetapi juga harus ‘dilihat bersih’; justeru, bersandarkan basic principle of leadership integrity ini, pasti setiap rakyat boleh menilai wibawa diri serta tahap ‘kebersihan’ golongan ahli politik yamg pernah mereka pilih sebelum ini.
Variasi keterlibatan dengan amalan rasuah, kecenderungan membuat lantikan-lantikan politik yang memberi kesan buruk kepada institusi/organisasi, serta amalan budaya kronisme dan nepotisme yang keterlaluan merupakan antara kayu ukur yang boleh dijadikan rujukan dalam proses penilaian ini. Persoalannya, setelah semua penilaian dan proses timbang tara dibuat, apakah strategi alternatif pemilihan yang boleh diguna pakai dalam PRU-15 kelak?
Membuat pilihan di peti-peti undi merupakan hak individu setiap rakyat dalam sesebuah negara yang mempraktikkan demokrasi dalam amalan siasah politiknya. Namun begitu, seiring peredaran masa, amalan ini telah lazimnya telah membentuk dua blok – pemerintah dan pembangkang, yang terdiri daripada gabungan beberapa parti politik – di negara-negara yang mengamalkan sistem ‘demokrasi raja berperlembagaan’ seperti United Kingdom (UK) dan Malaysia, manakala di negara yang tidak mengamalkan sistem monarki seperti Amerika Syarikat kewujudan dua blok parti politik (Demokrat dan Republikan) juga telah bertapak sejak sekian lama dan tidak memberi banyak alternatif pilihan kepada rakyat semasa pilihan raya diadakan.
Rekod pilihan raya di beberapa buah negara seperti India, Pakistan, dan Indonesia, pernah menunjukkan peralihan pola pengundian kepada calon-calon bukan dalam kalangan ahli politik seperti artis, ahli sukan dan selebriti. Transisi pola pengundian ini memberi indikasi bahawa perubahan boleh dilakukan sekiranya ‘political will’ yang kuat wujud dalam kalangan rakyat, yang berkemungkinan juga telah jelak dengan sandiwara politik yang tidak berkesudahan dan sering diulang-ulang setiap kali musim pilihanraya menjelang.
Sehubungan itu, rakyat Malaysia yang sudah muak, bosan dan jelak dengan semua aksi dan ‘jenaka’ ditampilkan ahli-ahli politik tempatan – yang majoritinya berkisar kepada agenda political survival masing-masing dan bukanya demi kemaslahatan rakyat jelata – dalam tempoh 4 tahun 5 bulan yang lalu, wajar mencuba strategi alternatif meengundi dipanggil ‘buta parti’ pada PRU-15 kelak. Kaedah ini berpaksikan analisis dan penilaian kendiri terperinci terhadap setiap calon yang menawarkan diri untuk bertanding, dan mengenepikan elemen-elemen populariti calon serta pengaruh parti. Dengan segala informasi yang boleh diperolehi di alam maya, setiap individu rakyat perlu ‘membutakan mata zahir dan mata hati’ kepada lambing-lambang dan ‘gula-gula’ yang bakal dimainkan parti-parti politik sepanjang tempoh berkempen kelak.
Sebaliknya, setiap warga yang sayangkan negara dan generasi pewaris negara pada masa hadapan, perlu melaksanakan hak pengundian mereka dengan memilih calon-calon yang benar-benar memiliki wibawa diri serta iltizam tinggi untuk membantu rakyat. Negara tidak ketandusan individu-individu sebegini, kerana dalam beberapa situasi yang telah berlaku, figura-figura seperti ‘Abang Viva’ dam ‘Uncle Kentang’ terbukti lebih terkehadapan untuk membantu rakyat berbanding agensi-agensi kerajaan yang sepatutnya, walaupun dalam keadaan di mana mereka tidak memiliki apa-apa jawatan, pengaruh, dan wang ringgit berjuta. Gabungan aktivis-aktivis sosial masyarakat sebegini dan bekas-bekas pesara kerajaan (yang tidak memiliki cita-cita atau kepentingan politik) mungkin boleh menawarkan blok alternatif mampan kepada kebolehlaksanaan strategi ‘buta parti’ ini, di mana mereka diberi peluang untuk dipilih sebagai wakil-wakil rakyat generasi baru walaupun bertanding menggunakan lambing-lambang tidak popular seperti kunci, bola, motosikal, dan sebagainya.
Di Malaysia, selagi mana para penjawat awam mengerti tentang tugas, amanah serta tanggungjawab yang dipikul, insyaAllah jentera kerajaan akan terus bergerak menjalankan fungsi dan peranan sewajarnya. Selain itu, tidak seperti di UK yang mana portfolio-portfolio secretary of state (setara portfolio menteri-menteri di Malaysia) dilantik dalam kalangan ahli-ahli politik berpengalaman dalam bidang tersebut – sebagai contoh, Secretary of State for Defence, UK memiliki pengalaman pendidikan dan perkhidmatan dalam institusi ketenteraan sebelum menceburi politik – namun, sesiapa sahaja dalam kalangan ahli politik yang menang pilihan raya di Malaysia boleh dilantik memegang apa sahaja portfolio menteri walaupun tiada sebarang latarbelakang dalam portfolio tersebut.
Oleh sebab itu, tiada sebarang masalah jika generasi wakil-wakil rakyat baru yang bakal dipilih mengguna pakai strategi ‘buta parti’ kelak dilantik sebagai menteri kerana mereka akan disokong oleh para penjawat awam yang diketuai Ketua Setiausaha (KSU) kementerian. Pendekatan mengundi secara ‘buta parti’ dan fokus kepada kredibiliti dan potensi calon semata-mata ini merupakan satu strategi alternatif yang boleh dipertimbangkan; namun, realiti bahawa undi itu adalah rahsia – menyebabkan hanya setiap individu warga Malaysia yang sedar tentang haknya untuk memilih dengan baik demi kelangsungan kehidupannya untuk tempoh lima tahun mendatang – akan tahu apa yang wajar dilakukan apabila masanya tiba kelak. Laksanakanlah hak kita dengan membuat pilihan yang benar-benar bijak dan teliti, serta tidak akan dikesali di kemudian hari. Selamat mengundi.
Prof Madya Dr. Abu Yazid Abu Bakar
Profesor Madya (Bimbingan & Kaunseling / Psikologi)
Pusat Kajian Kepelbagaian Pendidikan Fakulti Pendidikan
Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM)