Menteri Kesihatan, Khairy Jamaluddin melawat tapak pameran pemakanan sihat pada Majlis Perasmian Seminar Anti Obes-City Putrajaya dan Pelancaran Modul Pengurusan Berat Badan Trim dan Fit di Kementerian Kesihatan Malaysia, Putrajaya. Foto MOHD ADZLAN, 11 OKTOBER 2022.

PUTRAJAYA – Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) akan memulakan projek rintis pelabelan kalori makanan di restoran-restoran di Putrajaya bermula tahun depan.

Menterinya, Khairy Jamaluddin Abu Bakar berkata, projek rintis itu merupakan langkah untuk menggalakkan perubahan tingkah laku dan amalan pemakanan sihat dalam kalangan rakyat.

Ujar beliau, kementeriannya akan menyediakan maklumat kalori bagi memudahkan restoran membuat pelabelan terhadap makanan yang dijual.

“Sekarang ini kita dalam peringkat perancangan untuk kenal pasti kafeteria dan restoran yang ingin mengambil bahagian dalam projek rintis ini.

“KKM akan sediakan maklumat tersebut supaya mereka tidak perlu membelanjakan duit untuk dapatkan nasihat untuk menyediakan menu mereka.

“Kita minta kerjasama daripada pihak pengurusan restoran supaya maklumat kalori dapat diletakkan di kedai makan mereka,” katanya kepada pemberita selepas merasmikan Modul Program Pengurusan Berat Badan Trim & Fit, di sini, hari ini.

Menurut beliau, projek rintis yang akan dikendalikan oleh Bahagian Pemakanan KKM akan bermula awal tahun depan dan dijangka berlangsung dalam tempoh setahun.

Jelas Khairy, keputusan sama ada melaksanakan dasar pelabelan makanan di seluruh negara selepas KKM menilai keberkesanan projek berkenaan.

“Selepas itu kita kaji sama sada pelaksanaannya maklumat kalori membawa kepada perubahan tingkah laku contihnya pilihan makanan yang lebih sihat dan kuantiti yang lebih kecil.

“Jika projek rintis ini berjaya mungkin boleh diluaskan di negara,” tambah beliau. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast