KUALA LUMPUR – Bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak masih lagi berhasrat dan berusaha untuk menggunakan peguam kanan (QC) United Kingdom (UK), Jonathan Laidlaw seandainya mahkamah membenarkan kes penyelewengan dana SRC International RM42 itu didengar semula.
Sebelum ini Najib yang juga Ahli Parlimen Pekan telah membuat permohonan pada 6 September lepas untuk menyemak keputusan Mahkamah Persekutuan yang telah menyabitkan salah dan menjatuhkan hukuman penjara 12 tahun serta denda RM210 juta.
Hari ini, peguam mewakili Najib, Tan Sri Muhammad Shafee Abdullah menyatakan anak guamnya telah memohon supaya keputusan rayuan utama diketepikan dan beliau dilepas serta dibebaskan daripada tuduhan berkenaan.
Najib juga telah memohon untuk rayuan itu didengari oleh barisan panel hakim baharu.
“Kami masih lagi terus berusaha supaya kita boleh gunakan kepakaran Laidlaw yang sebenarnya agak terkenal sebagai yang hebat dalam mengemukakan hujah dalam kes-kes jenayah komersial dan rasuah bukan saja di negara Komanwel sebaliknya dunia. Itulah sebab kami mahu menggunakan perkhidmatannya.
“Sekiranya mahkamah membenarkan permohonan kami, Najib akan dibebaskan tetapi paling-paling pun mahkamah akan arah rayuan akhir didengar semula depan hakim lain.
“Seandainya itu berlaku, saya akan mohon hukuman ke atas anak guam saya digantung dan kes kembali seperti pendakwaan awal,” katanya kepada media di lobi mahkamah Jalan Duta di sini petang tadi.
Najib memohon kebenaran untuk membuat semakan terhadap keputusan panel lima hakim Mahkamah Persekutuan yang dipengerusikan Ketua Hakim Negara, Tun Tengku Maimun Tuan Mat, pada 23 Ogos lalu selain hukuman ke atasnya ditangguhkan sehingga pendengaran semakan.
Ketika ini Najib sedang menjalani hukuman penjara 12 tahun di Penjara Kajang sejak 23 Ogos lepas.
Ketika ditanya jika Ahli Parlimen Pekan itu akan bertanding pada Pilihan Raya Umum ke-15, kata Muhammad Shafee, ada beberapa perkembangan baharu namun pasukannya berhasrat untuk berhujah depan hakim secepat mungkin.
“Saya simpan dulu dalam hati jawapan kepada pertanyaan anda. Ada banyak yang hendak saya cakap tetapi tunggulah dulu,” ujarnya.
Hari ini juga ketika pengurusan kes semakan kehakiman yang dikemukakan oleh Najib selepas tidak dibenar hadir sidang Dewan Rakyat, Muhammad Shafee memohon mahkamah mempercepatkan pendengaran.
Peguam itu berkata, pendengaran itu perlu dilakukan dengan cepat memandangkan ia adalah isu utama mengikut Perkara 48 Perlembagaan Persekutuan. – MalaysiaGazette