Zainul Rijal Abu Bakar

KUALA LUMPUR – Pertubuhan-Pertubuhan Pembela Islam (Pembela) konsisten non-partisan dan tidak mempunyai kaitan dengan mana-mana parti politik termasuk Gagasan Bangsa yang disertai bekas pengerusinya, Aminuddin Yahaya.

Pengerusinya, Datuk Zainul Rijal Abu Bakar berkata, penyertaan Aminuddin ke dalam Gagasan Bangsa, tidak selari dengan dasar Pembela yang bersifat non-partisan.

“Pembela tidak terlibat dengan apa-apa aktiviti Gagasan Bangsa yang baru dilancarkan itu.

“Penglibatan bekas Pengerusi Pembela, Aminuddin dalam Gagasan Bangsa tidak mewakili pendirian Pembela di dalam prinsip pendekatan non-partisan yang telah menjadi dasar teras Pembela.

“Sebagai sebuah wadah yang bergerak dengan prinsip menghormati keputusan syura, Pembela akan terus kekal memainkan peranan semak dan imbang kepada ketiga-tiga cabang legislatif, eksekutif dan judisiari negara tanpa terlibat di dalam mana-mana parti politik,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Sebelum ini, Sekretariat Pembela yang bermesyuarat pada 5 Oktober lalu, telah mencapai keputusan sebulat suara untuk menerima perletakan jawatan Aminuddin sebagai pengerusi badan bukan kerajaan itu.

Sekretariat itu juga telah membuat keputusan untuk melantik Zainul Rijal bagi menjalankan tugas-tugas Pengerusi Pembela berkuatkuasa 5 Oktober selama sebulan.

Bagaimanapun Aminuddin muncul dalam satu sidang media di sini, semalam dan kini sebagai jurucakap Jawatankuasa Pemandu Gagasan Bangsa yang bernaung di bawah Gerakan Tanah Air (GTA).

Dalam pada itu, Pembela akan terus memperjuangkan agenda agama bangsa dan tanah air (ABATA) dan memperjuangkan hak rakyat Malaysia dan isu antarabangsa bagi memastikan semua hak yang benar dapat ditegakkan.

“Pembela juga akan mengumumkan struktur baru kepimpinan PEMBELA dalam tempoh terdekat.

“PEMBELA menyeru kepada semua yang bersama dengan perjuangan PEMBELA ini tidak terkeliru dengan perkembangan terbaru yang sedang berlaku ketika ini dan kekal bersama menyokong perjuangan Pembela,” katanya.

Tambahnya, Pembela akan terus menegur mana-mana pemimpin, individu, organisasi atau badan sekiranya mereka tersasar dari perjuangan menegakkan ABATA tanpa mengira blok politik mereka.

“Merujuk kepada PRU-15 yang bakal diadakan nanti, Pembela menyokong mana-mana calon yang memperjuangkan agenda ABATA tanpa mengira parti politik mereka,” katanya lagi. – MalaysiaGazette