KUALA LUMPUR – Pembentangan Bajet 2023 pada 7 Oktober lalu tidak sia-sia kerana walaupun ia akan dibentangkan semula kepada Parlimen hanya selepas PRU-15.
Ini kerana, kerajaan baharu boleh bersandar kepada proses libat urus dan penyiapan bajet yang komprehensif, terangkum dan menyeluruh dalam merangka langkah seterusnya bagi persiapan untuk melaksanakan pelbagai inisiatif untuk manfaat rakyat, perniagaan dan ekonomi, kata Kementerian Kewangan (MoF) .
Menurutnya, dari segi rujukan pengalaman lalu (precedent), pada Oktober 1999, Bajet 2000 telah dibentangkan dan Parlimen telah dibubarkan sebelum ia diluluskan.
Walaupun Bajet 2000 terpaksa dibentangkan semula pada Februari 2000, bajet yang sama telah dibentang dan diluluskan.
Sehubungan itu, MoF tetap komited untuk membentangkan semula dan melaksanakan Bajet 2023.
Tambahnya, Bajet 2023 juga penting untuk MoF berkongsi dengan rakyat tentang pelbagai langkah yang telah dirancang oleh Kerajaan untuk membantu mereka menghadapi cabaran jangka pendek, seperti Bantuan Keluarga Malaysia (BKM) dan inisiatif pengurangan cukai, serta rancangan pembangunan jangka panjang untuk menambahbaik, antara lainnya, infrastruktur asas dalam dan luar bandar, pengangkutan awam, pendidikan dan kesihatan bagi meningkatkan kualiti hidup rakyat.
”Dengan pembentangan Bajet 2023, kerajaan boleh terus melaksanakannya pada Januari 2023 sebaik sahaja kerajaan dibentuk selepas PRU-15,” katanya.
Selain itu, pembentangan Bajet 2023 juga penting sebagai rujukan dasar kepada sektor perniagaan dan pelaburan untuk merancang langkah seterusnya berdasarkan kandungan Bajet 2023, terutamanya mengenai prospek ekonomi negara.
Contohnya, langkah-langkah program Semarak Niaga bernilai RM45 bilion yang menyokong perkembangan perniagaan, merangkumi kemudahan pembiayaan, pelbagai insentif cukai untuk menggalakkan industri strategik, serta pengurusan kewangan dan kedudukan fiskal Kerajaan adalah penting sebagai panduan untuk membolehkan sektor perniagaan dan pelaburan merencana pelan perniagaan masing-masing.
Seterusnya, unjuran ekonomi dan pertumbuhan Keluaran Dalam Negara Kasar yang diterbitkan kerajaan hanya dua kali setahun, iaitu pada bulan Mac dan bulan Oktober setiap tahun, iaitu tempoh yang selaras dengan bulan pembentangan bajet tahun akan datang.
”Jika Bajet 2023 tidak dibentangkan, ini akan meningkatkan sentimen ketidakpastian yang tentunya akan memberi impak negatif kepada keyakinan pelabur,” jelas MoF. – MalaysiaGazette