Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Keranji, Chong Zhemin

KUALA LUMPUR – DAP mengingatkan Menteri Besar Perak, Datuk Seri Saarani Muhamad agar tidak terburu-buru dalam pembubaran Dewan Undangan Negeri (DUN) Perak kerana akta anti lompat parti masih belum dibentang dan diluluskan.

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Keranji, Chong Zhemin berkata, DUN Perak wajib meluluskan akta anti lompat parti sebelum dibubarkan untuk mengelak kerajaan negeri jatuh dua kali kerana pengkhianatan berulang.

“Kerajaan Negeri Perak yang sah telah dijatuhkan dua kali dalam 11 tahun oleh pengkhianatan dan tindakan ADUN yang melompat parti.

“Kali pertama pada 2009, di mana tiga ADUN daripada Pakatan Rakyat (PH) keluar parti menjadi ADUN Bebas dan menyokong Barisan Nasional (BN) untuk menjatuhkan Kerajaan PH.

“Pengkhianatan kedua berlaku pada 2020, di mana beberapa orang ADUN telah mengalih sokongan dan menyebabkan Kerajaan PH tumbang.

“Oleh itu, DUN Perak wajib meluluskan akta anti lompat parti sebelum dibubarkan untuk mengelakkan peristiwa pahit ini berulang lagi,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Beliau mengulas laporan media bahawa Menteri Besar Perak dijangka menghadap Sultan Perak, Sultan Nazrin Muizzuddin Shah di Istana Kinta, Ipoh, jam 2 petang hari ini untuk pembubaran DUN Perak.

Dalam pada itu, Saarani juga perlu mencontohi Kerajaan Negeri Perlis yang akan membentangkan akta anti lompat parti pada Khamis ini bagi meluluskan akta anti lompat parti sebelum DUN negeri itu dibubarkan.

Jelasnya, Saarani boleh memanggil satu sidang DUN tergempar untuk membentangkan akta anti lompat parti, membahas dan meluluskan penggubalan Perlembagaan Negeri dalam tempoh sehari.

“Ia selaras dengan penggubalan Perlembagaan Persekutuan Akta Anti Lompat Parti. Saya yakin penggubalan Perlembagaan Negeri boleh mendapat sokongan lebih dua pertiga daripada ADUN Perak.

“Berdasarkan Perintah-perintah Tetap Dewan Negeri Perak Darul Ridzuan Perkara 8, dengan syarat bahawa dalam keadaan tergempar, notis itu tidak diperlukan dan notis itu hendaklah dikeluarkan seberapa segera boleh.”

“Perintah-perintah Tetap Dewan Negeri Perak telah memberi kuasa kepada Menteri Besar Perak untuk memanggil Sidang DUN Tergempar tanpa sebarang notis,” katanya. – MalaysiaGazette